LANGKAWI: Kerajaan tidak sepatutnya membuka sempadan kepada seluruh dunia selepas membenarkan rakyat dan pelancong asing memasuki negara ini bermula 1 April ini.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan sebaliknya disaran menyenaraikan negara-negara yang dibenarkan masuk ke Malaysia secara berperingkat.
Katanya, negara-negara yang disenaraikan itu pula melibatkan yang mempunyai penduduk berdisiplin dan mematuhi peraturan-peraturan ditetapkan.
“Kita perlu tentukan negara-negara yang kita benar dulu. Negara mana agak disiplin dan mengikut paturan-peraturan, kita boleh buka untuk negara itu.
“Semakin lama, semakin banyak negeri yang kita tambah, benar masuk dalam Malaysia. Mesti juga berhati-hati, tak boleh juga buat seolah-olah tak ada masalah,” katanya selepas melawat Lang Agro Farm di Kampung Padang Gaong, Ulu Melaka, di sini hari ini.
Akhbar hari ini melaporkan Malaysia membenarkan rakyat dan pelancong asing memasuki negara ini bermula 1 April selepas mengenakan larangan kemasukan sejak Mac 2020 bagi menangani Covid-19.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengumumkan dasar baharu itu menegaskan, keputusan membuka sempadan negara dibuat berdasarkan tiga perkara asas utama iaitu berpandukan sains dan fakta Covid-19, membandingkan keperluan pembukaan pintu sempadan serta keselesaan kepada pengembara.
Dr. Mahathir menambah, orang ramai juga perlu terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan walaupun sempadan negara dibuka selepas ini. – UTUSAN