SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan membenarkan solat berjemaah di masjid, surau dan musolla di Selangor boleh dirapatkan saf seperti biasa tanpa penjarakan fizikal.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, ketetapan tersebut dibuat dalam rundingan baginda bersama Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor dan Timbalan Mufti Selangor.
“Rundingan turut diadakan bersama Pengarah Kesihatan Negeri Selangor dan beberapa orang Ahli Dewan di Raja Selangor. Baginda berkenan membuat penelitian dan memperhalusi beberapa perkara penting terutama langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengelakkan kesan mendalam akibat jangkitan Covid-19 dan memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara serta masjid, surau dan musolla terus berfungsi sebagai pusat ibadah bagi umat Islam di Selangor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Shahzihan berkata, Sultan Selangor juga berkenan solat Tarawih pada bulan Ramadan tahun ini diadakan di semua masjid, surau dan musolla di seluruh negeri Selangor.
Katanya, solat Tarawih juga dikekalkan untuk dilaksanakan dengan 20 rakaat sepanjang bulan Ramadan.
“Semua aktiviti lain melibatkan masjid, surau dan musolla serta aktiviti sepanjang bulan Ramadan di seluruh Selangor juga boleh dilaksanakan seperti biasa. Para jemaah adalah dikehendaki mengikuti beberapa ketetapan yang mana hanya individu yang telah lengkap menerima dos vaksinasi Covid-19 (dos lengkap) sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan sahaja dibenarkan hadir ke masjid, surau dan musolla.
“Bagi individu yang berusia di bawah 18 tahun dan telah lengkap menerima dua dos vaksin sahaja dibenarkan hadir ke masjid, surau dan musolla. Individu yang hadir ke masjid, surau dan musolla dikehendaki membawa sejadah sendiri dan sentiasa memakai pelitup muka,” katanya.
Beliau berkata, individu yang bergejala diminta menangguhkan menghadiri sebarang aktiviti di masjid, surau dan musolla sehingga tahap kesihatan dapat dipastikan demi menjaga kesejahteraan jemaah yang lain.
Walau bagaimanapun katanya, Sultan Selangor masih bimbang kerana penularan wabak Covid-19 masih tinggi di negeri ini yang mana jumlah kematian sehingga 19 Mac lepas ialah 10,413 orang dan virus itu masih aktif dan menjangkiti masyarakat.
“Oleh yang demikian, baginda menasihati rakyat negeri Selangor agar tetap berhati-hati dan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta mengikuti semua arahan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa. Satu ketetapan secara lebih terperinci mengenai perkara ini untuk dikuatkuasakan pada 1 April dikeluarkan oleh JAIS kepada pentadbir masjid, surau dan musolla seluruh negeri Selangor dalam masa terdekat,” katanya. – UTUSAN