GEORGETOWN: Tiada lagi hotel yang berfungsi sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Pulau Pinang selepas industri perhotelan negeri ini kembali bangkit daripada pandemik Covid-19.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Yeoh Soon Hin berkata, hotel yang sebelum ini ditukar menjadi PKRC kembali beroperasi seperti biasa selepas kuarantin di rumah kini dibenarkan untuk pesakit positif Covid-19.
“Selain itu, PKRC yang dikendalikan kerajaan masih mencukupi untuk menampung pesakit.
“Terdapat sebuah PKRC yang dikendalikan oleh kerajaan negeri iaitu Pusat Pendidikan Mara (MEC) di Jawi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, selepas mengalami tempoh perniagaan yang sukar sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), industri perhotelan kembali memperoleh momentum melalui aktiviti perniagaan dan pelancongan domestik.
“Hotel-hotel di Pulau Pinang kembali pada prestasi terbaik iaitu menyediakan perkhidmatan hospitaliti yang terbaik kepada pelanggan,” tambahnya.
Dalam pada itu, Soon Hin berkata, pihak hotel telah mematuhi protokol kesihatan dan langkah keselamatan yang ketat semasa lawatannya ke hotel baru-baru ini.
Tambah beliau, data setakat semalam menunjukkan kadar pesakit Covid-19 yang menghuni MEC ialah 34 peratus.
“Angka setakat semalam juga menunjukkan pesakit yang menerima rawatan di wad hospital di Hospital Pulau Pinang adalah 70 peratus; Hospital Kepala Batas (69 peratus) dan Hospital Sungai Bakap (67 peratus),” katanya.- UTUSAN