TAIPING: Tiada keperluan untuk Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berikutan prestasi hambar gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semalam.
Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, walaupun PN hanya menang tiga daripada 56 kerusi yang ditandingi PN, tidak bermakna Pengerusi PN itu perlu meletak jawatan.
“Setakat hari ini, rakan PN tidak berbuat apa-apa perbincangan tentang perkara itu. Rasanya tiada keperluan untuk mengadakan perbincangan sama ada nak dikekalkan atau tidak, sebaliknya lebih baik memberi fokus terhadap gerak kerja yang perlu dilakukan pada masa hadapan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Futsal Piala Datuk Haji Idris Ahmad Tertutup Parlimen Bukit Gantang 2022 di Kamunting, di sini hari ini.
Muhyiddin menyatakan kesediaan untuk mengambil tanggungjawab atas kekalahan gabungan parti itu di Johor termasuk melepaskan jawatannya itu.
Daripada 56 kerusi yang ditandingi PN, gabungan parti itu hanya menang di tiga kerusi iaitu di Bukit Kepong, Endau dan Maharani.
Muhyiddin menyerahkan kedudukannya sebagai ketua gabungan itu kepada ahli parti untuk membuat keputusan.
Sementara itu, Idris berkata, Pas konsisten dengan pendirian untuk kekal sebagai rakan dalam PN walaupun keputusan PRN Johor tidak menyebelahi gabungan itu.
“Pas teguh dalam pendirian untuk bersama PN pada masa ini dan desas desus Pas akan meninggalkan PN setelah kalah PRN Johor adalah tidak benar,” katanya.
Menurut Idris, pada masa ini perkara yang perlu diberi fokus ialah memberi tumpuan perkhidmatan kepada rakyat.
“PRN Johor sudah selesai jadi lebih baik semua ahli politik memberi tumpuan sepenuhnya terhadap kemaslahatan rakyat.
Mengenai desakan segelintir pihak yang mahu Pilihan Raya Umum Ke15 (PRU15) segera, Idris berkata, keputusan untuk mengadakan PRU15 ditentukan oleh Perdana Menteri.
“Ada pihak mungkin berkehendak sangat untuk diadakan PRU15 disebabkan gelombang momentum kemenangan yang selesa dalam PRN Johor. Namun di pihak Pas, segalanya terletak pada keputusan Perdana Menteri, mana yang lebih terbaik, mengikut keadaan semasa,” katanya. – UTUSAN