KOTA KINABALU: Pewaris Sultan Sulu tidak pernah diiktiraf maka tiada keperluan untuk kerajaan Malaysia melayan sebarang tuntutan yang dibuat terhadap Sabah.
Penasihat Persatuan Kebajikan Bajau Suluk Sabah (PKBSS), Manan Yassin Orat berkata, tuntutan sebegitu hanya mainan politik negara jiran susulan Pilihan Raya Presiden Filipina yang semakin hampir.
Beliau berkata, Sabah adalah negeri berdaulat yang berada dalam Malaysia dan kerajaan negeri tidak pernah mengiktiraf pewaris Sultan Sulu ini sejak daripada dahulu.
“Malaysia tidak perlu layan tuntutan yang tidak masuk akal begini. Malah, kami di pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga amat membantah tuntutan yang boleh merosakkan keharmonian dan keamanan masyarakat Suluk yang berada di Sabah.
“Kami memohon agar kerajaan tidak mengiktiraf dan melayan tuntutan yang boleh mengganggu kestabilan dan perpaduan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia, khususnya di Sabah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Manan berkata, tuntutan pampasan berjumlah RM62.59 bilion itu dilihat sekadar satu cerita dilaporkan oleh agensi berita sahaja.
Namun, sekiranya ia benar-benar dituntut hingga boleh mengancam keharmonian kaum di negara ini maka, PKBSS akan membuat laporan polis agar tindakan tegas boleh diambil.
Mengulas lanjut katanya, biarpun mereka mengenali beberapa waris Sultan Sulu namun, tiada keperluan untuk Sabah mahupun Malaysia mengiktiraf tuntutan yang dibuat oleh waris berkenaan.
Jelas beliau, isu bayaran pampasan yang dibangkitkan itu dikhuatiri akan mengundang provokasi untuk menggesa agar tuntutan terhadap Sabah dilakukan semula.
Maka, pihak keselamatan perlu memainkan peranan bagi memastikan kawalan keselamatan di negeri ini terus dipertingkatkan bagi berhadapan sebarang kemungkinan.
Pada Rabu lalu, Kementerian Luar dan Jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan bersama memaklumkan kerajaan Malaysia menolak sepenuhnya tuntutan sebanyak AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) yang dikatakan perlu dibayar kepada keturunan Sultan Sulu.
Sebelum ini, agensi berita Sepanyol melaporkan penimbang tara Sepanyol, Gonzalo Stampa mengarahkan Malaysia membayar pampasan kepada waris Sultan Sulu berjumlah AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion). Malah, Malaysia didakwa tidak membayar wang pemisah sejak 2013 dan dikatakan melanggar Perjanjian 1987 yang ditandatangani oleh Sultan Jamal Al-Alam, Baron De Overbeck dan Alfred Dent mewakili syarikat British Utara Borneo. – UTUSAN