PORT DICKSON: Tiada rekod yang menunjukkan fenomena Aurora pernah kelihatan di negara ini.
Jelas Ketua Unit Baitul Hilal, Telok Kemang, Muzamir Mazlan, hanya negara yang berhampiran kutub utara atau kutub selatan sahaja yang boleh melihat fenomena berkenaan.
“Fenomena Aurora tidak kelihatan di Malaysia seperti yang ditularkan. Tiada rekod bertulis juga yang menunjukkan bahawa ia pernah kelihatan di negara ini pada masa yang lepas.
“Fenomena ini juga tiada ketetapan waktu dan bergantung kepada aktiviti matahari. Aurora akan kerap kelihatan di negara berhampiran kutub apabila berlakunya ribut suria.
“Fenomena ribut suria paling dahsyat pernah berlaku adalah pada September 1859 dengan kenampakan Aurora sehingga ke kawasan berhampiran latitud 20 darjah seperti Hawaii, Mexico dan Cuba,” katanya hari ini.
Menurut Muzamir, secara ringkasnya fenomena ribut suria (matahari) akan berlaku apabila terdapat letusan besar di permukaan matahari.
“Akibat daripada letusan tersebut, zarah bertenaga tinggi dari matahari akan melepasi ruang angkasa dan memasuki medan magnet bumi di kutub utara dan selatan.
“Interaksi di antara zarah ribut suria tersebut dan zarah lain yang berada di lapisan atmosfera bumi akan menghasilkan cahaya berwarna seperti hijau, biru dan jingga yang dikenali sebagai Aurora,” katanya.
Menurutnya, Aurora atau nama lainnya Aurora Borealis (utara) dan Aurora Australis (selatan) sinonim dikaitkan dengan negara negara yang berhampiran dengan kutub seperti Norway, Iceland, Finland dan New Zealand.
Ribut suria yang berlaku pada 13 Mac 2022 dengan klasifikasi G2-class oleh National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) Amerika Syarikat memberi impak kepada pengoperasian satelit serta sistem janakuasa di latitud tinggi.
“Ini sekali gus menyebabkan fenomena Aurora dengan index Kp-6,” katanya. – UTUSAN