Terus guna bahasa Melayu di peringkat global

Terus guna bahasa Melayu di peringkat global

bahasa melayu
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penggunaan bahasa Melayu di peringkat diplomasi dan hubungan dua hala antara Malaysia dan negara luar perlu diteruskan agar bahasa kebangsaan dikenali di serata dunia.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, penggunaan bahasa kebangsaan itu di peringkat global bukan sahaja dapat menonjolkan lagi bahasa ibunda malah dapat memupuk rasa hormat.

Katanya, tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggunakan bahasa itu ketika mesyuarat dua hala dan sidang media bersama semasa melakukan lawatan rasmi ke Brunei, Kemboja dan Thailand wajar diberikan pujian.

Rais berkata, perlakuan Ismail Sabri itu sekali gus mengisi tuntutan Perlembagaan Artikel 152 dengan dasar bahasa kebangsaan dan pengutuhan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaaan.

“Perkara seumpama ini sepatutnya berlaku sejak dahulu tetapi oleh kerana pengisian kemerdekaan tidak libatkan penggunaan bahasa sebagai senjata diplomasi berkesan maka, kita terlupa tentang pentingnya bahasa.

“Jadi dengan wujudnya langkah yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri, saya sebagai salah seorang pencinta bahasa memberi markah nasional dan nusantara kepadanya yang memperjuang bahasa Melayu,” katanya ketika dihubungi.

Perdana Menteri sebelum ini memaklumkan Malaysia menggunakan bahasa kebangsaan dalam setiap urusan rasmi negara termasuk mesyuarat dan persidangan antarabangsa sebagai usaha memartabatkan bahasa kebangsaan.

Ismail Sabri berkata, beliau telah menggunakan bahasa kebangsaan ketika mesyuarat dua hala dan sidang media bersama semasa melakukan lawatan rasmi ke Brunei serta Kemboja sebelum ini dan yang terbaharu, Thailand.

RAIS YATIM

Semangat patriotisme

Mengulas lanjut, Rais berkata, beliau pada 2 November lalu mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri untuk memberikan sokongan kepada penggunaan bahasa itu sekali gus bawa dasar semangat patriotisme ke peringkat tertinggi.

“Sebelum ini banyak negara yang guna bahasa masing-masing di peringkat global seperti Vietnam, Jepun dan Thailand. Sekarang kita guna bahasa Melayu. Jika orang tidak faham, kita pakai jurubahasa dan secara tidak langsung bahasa Melayu terus popular,” katanya.

Sementara itu, beliau berharap lebih ramai menteri dan ahli Parlimen mengikut jejak langkah Perdana Menteri memperbanyak penggunaan bahasa kebangsaan dalam segala urusan.

AWANG SARIYAN

Dalam pada itu, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan berkata, pengumuman Perdana Menteri mengangkat semula bahasa kebangsaan sebagai bahasa perhubungan antarabangsa.

Awang yang juga merupakan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, bahasa Melayu dari sudut sejarah sememangnya bahasa diplomasi.

“Wujudnya warkah dan perjanjian antara banyak kerajaan Melayu dahulu dengan kuasa Barat sejak ratusan tahun lalu dalam teks bahasa Melayu sudah cukup jadi bukti kukuh,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya