PETALING JAYA: Penyanyi berbakat besar, Marsha Milan, mendedahkan dirinya mengalami tekanan ketika latihan sebelum Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL36) yang berlangsung pada 6 Mac lepas.
Perkara tersebut dikongsikan penyanyi lagu Cinta itu menerusi entri Instagram miliknya.
“Melihat ini dalam galeri yang pembantu peribadi (PA) saya ambil. Dan sejujurnya, biasanya merakam latihan saya untuk perbaiki. Tetapi, saya ‘down’ dan tertekan beberapa jam sebelum AJL.
“Saya secara jelas terpaksa menggunakan ‘head voice’ kerana tidak dapat berlatih lagi,” katanya.
Mengulas lanjut, walau akui persembahan di malam tersebut tidak sempurna baginya, namun percaya dengan aturan Ilahi dan bersama dengannya.
“Tetapi tuhan memberikan satu jalan keajaiban.. Walaupun tidak sempurna semasa AJL.
“Namun Dia bersama saya…dan itu paling penting!” coretnya.
Pemerhatian Utusan Malaysia mendapati, rata-rata warganet menzahirkan rasa teruja dengan persembahan nyanyiannya di pentas berprestij itu selain mengucapkan tahniah buat penyanyi berkenaan.
Sekadar informasi, sekali lagi penyanyi dan komposer lagu, Akim Ahmad melakar kejayaan di pentas berprestij itu menerusi lagu Cinta ciptaan bersama isteri tercinta juga penyanyi, Stacy yang dinyanyikan Marsha Milan pada AJL 36, Ahad lalu.
Lagu itu berjaya dinobatkan Naib Juara sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 serta trofi AJL.