'Terima kasih abang bomba'

‘Terima kasih abang bomba’

CHE Sulaiman Che Mat (kanan) yang menghidap buah pinggang tahap empat diselamatkan pasukan bomba selepas terkepung kerana banjir di Kampung Tanjung Kala, Kuala Krai. Kelantan. - FOTO/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KRAI: Usaha pasukan penyelamat terutama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan yang berhempas-pulas membantu mereka sejak dua hari lalu amat dihargai mangsa banjir di negeri ini.

Antaranya, pesakit buah pinggang tahap empat, Che Sulaiman Che Mat, 68, yang sepatutnya menjalani rawatan di pusat dialisis di bandar ini pagi semalam, namun, terkandas di Kampung Tanjung Kala selepas kawasan itu terputus hubungan akibat banjir.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, isterinya, Zaini Mat Jusoh, 56, berkata, selepas kesihatan Che Sulaiman semakin merosot, menantunya segera menghubungi pihak bomba bagi mendapatkan bantuan membawa warga emas itu keluar dari kawasan banjir.

ANGGOTA bomba menyelamatkan mangsa banjir kanak-kanak yang mengalami penyakit lelah kronik bagi mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Tanah Merah. – FOTO/ROSALWANI CHE SOH

“Tiga anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Durian bersama penghulu kampung tiba di rumah kira-kira pukul 3 petang semalam untuk membawa kami keluar dari kampung yang ditenggelami air sehingga sedalam dua meter.

“Terima kasih kepada semua pihak terutama anggota bomba kerana segera menghulurkan bantuan kepada kami sekeluarga yang terkepung akibat banjir di luar jangka kali ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurut Zaini, sementara menunggu banjir melanda kampung itu reda, dia dan suami akan menumpang di rumah anak mereka di Machang.

Sementara itu di Tanah Merah, seorang kanak-kanak yang menghidap asma kronik, Muhammad Adib Harraz Mohd. Raimi, 4, turut berterima kasih kepada ‘abang’ bomba selepas membawanya keluar dari Kampung Jerangau yang dikepung air banjir.

Usaha membawa Muhammad Adib Harraz ke daratan dan seterusnya ke Hospital Tanah Merah dengan menaiki bot dilaporkan mengambil masa hampir dua jam dan membabitkan jarak sejauh dua kilometer.

Ketua BBP Tanah Merah, Mohd Rafain Mat Zain memberitahu Utusan Malaysia, pi­haknya menerima laporan kecemasan berhubung keadaan mangsa pada pukul 4 petang sebelum bergegas ke rumah kanak-kanak itu.

“Walaupun berdepan kesukaran, kami lega kerana akhirnya berjaya membantu memindahkan kanak-kanak itu yang diserang lelah teruk untuk mendapatkan rawatan segera di Hospital Tanah Merah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya