PUTRAJAYA: Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat mengetuai panel lima hakim yang akan menentukan nasib bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam rayuan akhirnya membabitkan sabitan dan hukuman yang dikenakan terhadapnya selepas didapati bersalah atas penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.
Beliau bersidang bersama-sama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohd. Zawawi Salleh.
Pada prosiding hari ini, panel yang sama sedang mendengar rayuan Najib atas keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak permohonannya untuk memasukkan bukti baharu dalam rayuan kes SRC tersebut.
Bukti baharu itu antaranya membabitkan penglibatan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar yang dikatakan bersekongkol dengan Jho Low atau Low Taek Jho bagi memudahkan ahli perniagaan dalam buruan itu untuk menyeleweng dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya SRC International.
Sabitan dan hukuman tersebut dijatuhi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020 dan keputusan tersebut telah dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021.
Pada 7 Disember 2021, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk memasukkan bukti baharu itu atas alasan tiada keadaan istimewa yang membolehkan keterangan baharu itu diterima.
“Selepas mendengar hujah panjang lebar dan meneliti afidavit yang telah difailkan, kami dapati perayu (Najib) gagal menunjukkan bukti baharu itu adalah perlu dan tiada keperluan istimewa melampau (extremely exceptional circumstances) untuk menerima keterangan tersebut,”ujar panel terbabit yang diketuai panel tiga hakim yang diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.
Pendengaran rayuan utama Najib terhadap sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dikenakan terhadap Najib atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana SRC International masih belum ditetapkan tarikhnya.
Najib turut memohon agar dirinya diwakili Queens Counsel (peguam paling kanan di United Kingdom) pada pendengaran tersebut. – UTUSAN