Tengku Hassanal 'terpukau' kemerahan landskap 'The Red Forest'

Tengku Hassanal ‘terpukau’ kemerahan landskap ‘The Red Forest’

TENGKU HASSANAL Ibrahim Alam Shah (tengah) bersama Mohd. Sharkar Shamsudin (depan, dua dari kanan) bersama sebahagian pendaki ketika berada di puncak setinggi 371 meter Bukit Merah di Jerantut, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Deretan pokok Kelat Gelam atau nama saintifiknya, Eugenia cerina di puncak Bukit Buluh, dekat sini memukau pandangan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ketika berangkat mendaki bukit tersebut sempena pelancaran Program Hiking Day di daerah ini hari ini.

Ketibaan baginda di kaki bukit itu disambut oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr. Salehuddin Ishak, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah, Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin.

Tengku Hassanal diiringi 75 orang pendaki mewakili agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memulakan pendakian pada pukul 8.10 pagi dan berjaya tiba di puncak bukit dengan ketinggian 371 meter itu cuma mengambil masa 21 minit sahaja berbanding tempoh yang lazimnya dilakukan oleh pengunjung antara 40 hingga 50 minit.

Baginda meluangkan masa selama 20 minit bersama pendaki dan pengunjung yang memenuhi cuti hujung minggu di puncak itu sambil berkenan bergambar bersama pengunjung di bukit tersebut.

Program yang sama juga diadakan serentak di lokasi terpilih setiap daerah Pahang membabitkan lintasan secara langsung di 13 buah lokasi melalui platform media sosial Facebook Tourism Pahang dan Kerajaan Pahang.

Keistimewaan puncak Bukit Buluh, iaitu ditumbuhi pokok Kelat Gelam mewarnai landskap kawasan di situ dengan warna merah kerana batang dan ranting tumbuhan liar berkenaan berwarna merah sehingga dikenali dalam kalangan pelawat sebagai ‘The Red Forest’.

Sultan Hassanal teruja melihat keindahan persekitaran yang berwarna merah dan memuji usaha Pejabat Daerah Jerantut dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang menjadikan kawasan bukit itu sebagai tarikan pengunjung bagi kemudahan berekreasi dan beriadah pada waktu petang dan hujung minggu.

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri akan mewartakan Bukit Buluh sebagai destinasi baharu dalam Kalendar Pelancongan Pahang mulai tahun ini dan berharap Tourism Pahang, Pejabat Daerah Jerantut serta semua penggiat dan pengusaha pelancongan giat mempromosi tempat tersebut.

“Saya terpukau dengan landskap bukit ini diwarnai kemerahan sebab pokok Kelat Gelam berwarna merah, malahan tidak ditemui di tempat lain negeri ini selain Mossy Forest di Brinchang, Cameron Highlands yang terkenal dengan hutan dipenuhi lumut yang juga antara tarikan ramai pelawat.

“Bukit ini cuma 17 kilometer dengan bandar Jerantut antara pakej terbaharu pelancongan di daerah ini dan boleh disinggahi pengunjung dalam perjalanan ke Taman Negara Kuala Tahan atau destinasi lain di sini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengiringi lawatan Tengku Hassanal hari ini.

Dalam pada itu, penggiat pelancongan Taman Negara, Sabri Abdullah menambah, pengunjung ke Taman Negara tidak akan melepaskan peluang singgah mendaki Bukit Buluh semasa dalam perjalanan pergi atau balik daripada pusat peranginan hutan tropika taman tersebut.

“Kita akan terus menggiatkan promosi lokasi The Red Forest kepada pelancong antarabangsa selepas sempadan negara dibuka mulai 1 April ini sebagai lokasi transit sebelum atau selepas melawat Taman Negara,” ujarnya.

Jelasnya, usaha Tourism Pahang, Pejabat Daerah Jerantut dan Jabatan Perhutanan membuka lokasi tersebut amat dipuji sekali gus menambah sebuah lagi destinasi berasaskan tumbuhan liar yang unik serta ketinggian The Red Forest yang boleh didaki pelbagai peringkat usia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya