JOHOR BAHRU: Tanda pagar #HasniForMB kini sedang sohor kini di media sosial ekoran polemik pemilihan Menteri Besar Johor yang baharu selepas tamat Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Tanda pagar itu turut digunakan beberapa kepimpinan UMNO negeri bagi menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad agar sekali lagi dipilih sebagai Menteri Besar bagi menerajui negeri ini.
Seorang daripada warganet, Raihan Baba misalnya, memohon doa agar diperkenankan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut itu sebagai Menteri Besar dan bukan individu lain.
“Ya Allah, kau makbulkanlah permohonan Bangsa Johor kali ini, semoga kemakmuran kekal di bumi Johor Darul Takzim,” katanya.
Seorang lagi warganet, Ahmad Liwauddin pula berharap agar kedua-dua individu yang lain tersenarai dalam calon Menteri Besar mengundur diri dengan terhormat.
“Mohon nama calon lain rendah hati tolak tawaran itu,” katanya ringkas.
Sejak semalam, isu pemilihan Menteri Besar Johor yang baharu menjadi bualan hangat dalam kalangan rakyat dan juga parti politik susulan terdapat tiga nama disebut-sebut bakal memegang jawatan itu.
Ketiga-tiga mereka ialah Hasni, bekas Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Puad Zarkashi.
Namun setakat ini, nama Onn Hafiz adalah yang paling hampir untuk dilantik menjawat jawatan berkenaan berikutan kenyataan Hasni yang mencadangkan pucuk pimpinan parti memilih orang muda bagi menerajui negeri.
Onn Hafiz, 44, merupakan ADUN Machap selepas bertukar kerusi dari Layang-Layang yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu. – UTUSAN