Tanam ketum ayam berskala besar, elak kebergantungan import

Tanam ketum ayam berskala besar, elak kebergantungan import

SUPARDI Bai menunjukkan pokok daun ketum ayam atau Madre de Agua yang ditanamnya di Kampung Gedang, Terachi, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. - FOTO/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Ketika harga dedak sebagai makanan ternakan termasuk ayam semakin hari semakin melambung, semua pihak khususnya kerajaan diminta memberi fokus kepada pengeluaran tanaman alternatif termasuk Madre de Agua atau pokok ketum ayam bagi mengurangkan kebergantungan kepada pengimportan dedak.

Seorang pengusaha tanaman tersebut atau popular dikenali sebagai pokok daun ketum ayam, Supardi Bai, 55, berkata, isu harga ayam yang meningkat yang dihadapi pengguna ketika ini tidak akan selesai selagi penternak masih bergantung kepada penggunaan dedak yang ketika ini diketahui diimport sepenuhnya.

“Kajian serta analisis telah dijalankan, terbukti ketum ayam memang dapat jadi bahan mentah kepada makanan haiwan ternakan termasuk ayam.

“Hasil pengiraan juga, penggunaan daun ketum ayam bersama beberapa bahan mentah lain sebagai makanan ayam, penternak terutamanya yang mengusahakan secara kecil-kecilan dapat mengurangkan penggunaan dedak sekali gus kos pengeluaran mereka juga dapat dikurangkan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Gedang, Terachi, di sini semalam.

Tambah Supardi atau lebih dikenali sebagai Pak Tam, bagi mencapai hasrat tersebut, tanaman daun ketum ayam perlu dijalankan dalam skala yang besar sama seperti yang perlu dilakukan untuk tanaman jagung sebagai bahan asas makanan ternakan di negara ini.

“Ia merupakan langkah bagi jangka masa panjang yang perlu diambil termasuk dengan penumpuan kepada penggunaan teknologi serta tenaga buruh yang mencukupi.

“Jika tiada usaha ataupun langkah pertama diambil, kita akan terus bergantung kepada pengimportan dedak, dan isu yang kita hadapi ketika ini iaitu harga dedak yang dimport melambung, harga ayam yang tinggi, tidak akan berkesudahan,” katanya.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan dari Universiti Okayama, Jepun itu memberitahu, dia kini turut mengusahakan tanaman jagung bijirin seluas satu ekar.

“Ini hanya percubaan dan sememangnya untuk kegunaan sendiri kerana saya juga mengusahakan ternakan ayam secara kecil-kecilan selain menjual anak pokok daum ketum.

“Campuran daun ketum ayam yang dikisar bersama jagung dan beberapa bahan lain yang saya hasilkan juga mendapat banyak permintaan daripada penternak ayam di kawasan sekitar,” kata pemenang tempat ketiga Pertandingan Anugerah Inovasi Jabatan Veterinar 2019 itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya