Sediakah Malaysia ‘halalkan’ ketum? - Utusan Malaysia

Sediakah Malaysia ‘halalkan’ ketum?

SEBAHAGIAN pokok ketum ditanam di sebuah ladang di Padang Terap, Kedah. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Malaysia perlu bersedia dari aspek kawalan, penguatkuasaan serta pelaksanaan mengikut prosedur sebetulnya sebelum membenarkan penanaman ketum untuk tujuan komersial dan eksport.

Selain itu, pendidikan terhadap masyarakat berhubung ketum perlu dipertingkatkan bagi mengelak masalah penyalahgunaan daun berkenaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah kanan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia, Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Dr. Khairul Farihan Kasim berkata, memang diakui ketum di negara ini berpotensi besar untuk dikomersialkan.

“Namun yang menjadi persoalan adakah Malaysia sudah bersedia,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau memberitahu, sebagai contoh di Wilayah Gyeongsang Utara, Korea Selatan yang mempunyai kawasan khusus penanaman hemp (spesies ganja) mengikut prosedur-prosedur yang ditetapkan.

“Prosedur-prosedur tersebut seperti pengusaha yang terlibat perlu mendaftar dan dilatih. Semasa tuai pula, polis akan tunggu. Tanaman tersebut hanya fokus kepada pembuatan pakaian dengan menggunakan serat hemp.

“Dan jika kita ingin melaksanakan penanaman ketum dalam skala besar untuk tujuan komersial perlu mengikut prosedur sebetulnya seperti wujudkan sebuah badan yang mengawal dan sebagainya bagi mengelak masalah salah guna,” katanya.

Kertas cadangan

Dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada 23 Mac lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memberitahu, kerajaan negeri meminta Persekutuan meneliti kertas cadangan yang bakal dikemukakan sebelum membuat keputusan untuk tidak meluluskan eksport ketum ke Thailand.

Cadangan eksport ketum itu turut disokong Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang memaklumkan tanaman itu mampu menjana pendapatan pekebun Risda sekiranya kerajaan membenarkannya dieksport.

Malah, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin juga senada dengan menyifatkan penanaman ketum secara sah mempunyai banyak kebaikan khususnya daripada aspek perubatan dan membawa pulangan lumayan.

Kata Zahidi, negara-negara luar telah mempatenkan ketum dan hemp namun Malaysia belum membuat apa-apa tindakan ke arah itu dan ia dilihat sebagai satu kerugian.

Mengulas lanjut, Khairul Farihan, jika dilihat dari sudut positif, ketum sebenarnya berpotensi menjadi komoditi baharu yang boleh menjana pendapatan untuk negara khususnya di negeri ini.

Malah difahamkan, ketum dari Malaysia yang terbaik sehingga mendapat permintaan tinggi di luar negara.

Sementara itu, Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang, Profesor Dr. Mohd. Ilham Adenan berkata, pengko­mer­­sialan ketum perlu dilaksanakan secara terkawal membabitkan penanaman dan penghasilan produknya jika ia dibenarkan dari segi undang-undang.

 

Penanaman

Menurut beliau, selain memikirkan untuk menghalalkan penanaman ketum perlu juga difikirkan tentang pengurusan penggunaan bahan tersebut.

“Dalam keadaan apa sekali pun, ketum masih lagi tergolong dalam kategori tumbuhan psikoaktif. Psikoaktif bermaksud ia mempunyai kandungan kimia yang boleh memberikan kesan kepada otak dan juga keadaan mental, emosi dan kognisi si pengambilnya, ” kata Mohd. Ilham yang sejak 2010 aktif mela­kukan penyelidikan tentang ketum.

Kata beliau, mekanisme dan langkah-langkah kawalan diperlukan terutama bagi mengawal dan mencegah secara berterusan penyalahgunaan dan penanaman ketum walaupun ia dibenarkan mengikut undang-undang.

“Maknanya, untuk menghalalkan ketum bukan mudah dan pelbagai perkara perlu dilihat terutama aspek pengurusannya. Pengurusan ketum juga tidak boleh disekalikan dengan ganja,” katanya di sini semalam.

Mengulas lanjut, Dr. Mohd. Ilham berkata, sudah sampai masanya kerajaan mencari model pengkomersialan terkawal ketum seperti dilaksanakan negara jiran.

“UiTM Pahang sendiri dalam proses melakukan kajian penanaman ketum secara terkawal kerana kita memperoleh kebenaran Kementerian Kesihatan untuk melakukan penyelidikan tentang ketum,” jelasnya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya