PETALING JAYA: Kira-kira 80 penduduk daripada 22 unit rumah di Jalan Teratai 1 dan Jalan Teratai 2 di Taman Bukit Permai di sini diarahkan mengosongkan kediaman susulan kerja kajian tanah secara terperinci yang dilaksanakan dalam tempoh dua minggu ini.
Pegawai Daerah Hulu Langat, Dr. Ani Ahmad berkata, kajian secara terperinci membabitkan kerja-kerja siasatan tapak runtuhan selain mengenal pasti keadaan cerun bagi mengetahui sama ada kawasan tersebut selamat diduduki atau sebaliknya.
“Kajian itu juga bagi mencari penyelesaian yang boleh dilaksanakan di tapak runtuhan terbabit.
“Sebanyak 15 buah rumah di Jalan Teratai 1 dan tujuh unit di Jalan Teratai 2 yang terjejas telah diarahkan untuk dikosongkan,” katanya dalam sidang akhbar di dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya di Cheras Baru petang tadi.
Dalam pada itu, Dr. Ani berkata, dalam tempoh tersebut, kerja-kerja pembersihan sisa runtuhan serta kerja pengukuhan sementara turut dilaksanakan.
Jelas beliau, ini termasuk kerja-kerja pembaikan cerun dan kesemua kajian itu akan dilaksanakan MPAJ, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta IKRAM.
“Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan jangka masa sebenar proses ini dijalankan.
“Pihak penduduk akan dimaklumkan semula tentang hasil kajian daripada masa ke semasa termasuk keputusan sama ada kesemua 22 buah kediaman tersebut bila akan selamat diduduki,” katanya. – UTUSAN