Tanah runtuh: 200 penghuni diarah pindah - Utusan Malaysia

Tanah runtuh: 200 penghuni diarah pindah

KEADAAN Taman Bukit Permai di Ampang yang terlibat dengan kejadian tanah runruh pada 10 Mac 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih 200 penghuni di 48 rumah di Taman Bukit Permai 2 di Ampang  diarahkan mengosongkan kediaman masing-masing  bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa melakukan kajian terperinci di kawasan tersebut. 

Pegawai Daerah Hulu Langat, Dr. Ani Ahmad berkata, tindakan itu susulan pemantauan awal  mendapati terdapat rekahan tanah yang dikhuatiri menyebabkan pergerakan tanah terus berlaku. 

“Kita perlu melakukan kajian terperinci berhubung keadaan di situ  kerana dibimbangi pergerakan tanah masih berlaku disebabkan rekahan terbabit. 

 “Justeru, lebih 200 penduduk di 48 rumah berkenaan perlu mengosongkan kediaman mereka bagi mengelak insiden tidak diingini berlaku kerana  keadaan cuaca juga tidak menentu ketika ini,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian di sini hari ini.

Menurut  beliau, pihaknya menyediakan pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Orang Ramai Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang terletak di lokasi berhampiran. 

Bagaimanapun, tiada penduduk yang tinggal di PPS berkenaan kerana mereka memilih untuk tinggal di rumah saudara, hotel dan inap desa yang berdekatan. 

“Meskipun begitu, PPS berkenaan sentiasa dibuka untuk penduduk yang mahu tinggal sementara di situ,” jelasnya.

Dalam pada itu, satu pusat pengurusan bencana daerah turut diwujudkan bagi merangka strategi yang lebih teratur dalam kejadian itu. 

Jelas beliau, ia membabitkan kerjasama daripada beberapa agensi termasuk MPAJ, Jabatan Kerja Raya (JKR), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta agensi lain.

 “Kerja-kerja pembersihan tidak boleh dilaksanakan ketika ini kerana perlu melihat aspek kestabilan cerun berkenaan,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya