Tanah lapangan terbang Seri Iskandar dijual zaman PH - Utusan Malaysia

Tanah lapangan terbang Seri Iskandar dijual zaman PH

SAARANI Mohamad (tengah) menyerahkan kerusi roda pada pogram CSR di Bota Kanan dekat Parit hari ini. - UTUSAN/MOHAMAD HAFIZI MOHD SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT: Tanah untuk cadangan pembinaan sebuah lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar di sini telah dijual kepada sebuah syarikat bagi tujuan pembangunan.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, penjualan tanah itu bukan dilakukan kerajaan di bawah pentadbiran beliau, sebaliknya dijual semasa Pakatan Harapan (PH) mentadbir negeri Perak sebelum ini.

Menurut Saarani, tanah tersebut sebelum ini diberikan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) untuk tujuan membina lapangan terbang baharu ketika Barisan Nasional (BN) memerintah sebelum PH.

“Tetapi apabila bertukar kerajaan, kerajaan waktu itu menjual tanah kepada sebuah syarikat. Itulah yang sudah berlaku, itu zaman PH.

“Masa BN dahulu kita simpan, tetapi masa PH mentadbir negeri dia jual. Jadi kita tiadalah tanah untuk membina lapangan terbang,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Perasmian Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Bantuan Persekolahan dan Orang Kurang Upaya Oleh Kelompok-Kelompok Padang Ragut Daerah Perak Tengah dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Perak 2021 di Dewan Dato’ Ahmad Hambal, Bota Kanan di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan ADUN Aulong, Nga Kor Ming tanah berkenaan yang telah dijual tanpa persetujuan kerajaan negeri ketika sesi perbahasan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak kelmarin.

Saarani berkata, tanah itu sudah mendapat kelulusan untuk tujuan pembangunan bercampur oleh syarikat terbabit dan mereka juga mendapat kelulusan Kebenaran Merancang (KM).

Menurut Saarani, kerajaan negeri terpaksa mencari lokasi baharu yang bersesuaian di negeri ini bagi cadangan membina lapangan terbang bertaraf antarabangsa di Perak.

Katanya, pembinaan lapangan terbang baharu yang bertaraf antarabangsa diperlukan di negeri ini bagi membolehkan kapal terbang lebih besar mendarat.

“Ada keperluan untuk jangka masa panjang dan kita kena cari tanah lain. Tidak semestinya (lokasi tanah baru di Seri Iskandar), pada suatu ketika dahulu ada cadangan buat di Kerian kemudian tidak jadi.

“Ia (lokasi baru) bergantung kepada kesesuaian sebab perlu mendapat pandangan dari Jabatan Penerbangan Awam (DCA),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya