Tambahan kerusi Parlimen seimbangkan suara Sabah, Sarawak

Tambahan kerusi Parlimen seimbangkan suara Sabah, Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Tuntutan Sabah dan Sarawak mendapatkan satu pertiga kerusi Parlimen bukan untuk memonopoli, sebaliknya untuk menyeimbangkan suara wakil rakyat antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, Sabah dan Sarawak berhak memperoleh satu pertiga kerusi Parlimen seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau berkata, setelah Singapura keluar daripada Malaysia, sepatutnya satu pertiga kerusi Parlimen kekal diberikan kepada Sabah dan Sarawak.

Ketika ini, daripada 222 kerusi Parlimen, Sabah dan Sarawak hanya memiliki 56 kerusi namun, jika mengambil kira satu pertiga maka, Sabah dan Sarawak seharusnya memperoleh lebih 70 kerusi Parlimen.

“Ini bermakna Sabah seharusnya mempunyai lebih 30 kerusi.

“Kita nakkan suara itu seimbang dan hak (Sabah, Sarawak) dapat didengari. Tapi sekarang bagaimana hendak mendengar jika perjanjian yang diperakui Tunku Abdul Rahman, Tun Datu Mustapha Harun, Tun Fuad Stephens dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak dilaksanakan.

“Bukan mahu lebih cuma, mahu hak itu dikembalikan,” katanya selepas melawat mangsa kebakaran Kampung Kurnia Jaya di Dewan Serbaguna Kampung Hidayat Batu 4 hari ini.

Mengulas lanjut katanya, apabila isu berkaitan hak Sabah dan Sarawak disuarakan tidak bererti semangat kenegerian mereka menebal.

“Jangan beranggapan kita hanya perjuangkan hak orang Sabah dan Sarawak, tidak. Ini perjuangan tentang negara maka, kita kena sentuh hati nurani rakyat secara keseluruhannya,” katanya.

Dalam lawatan berkenaan, Mohd. Shafie, yang juga Ahli Parlimen Semporna itu turut menyampaikan sumbangan wang ehsan dan bakul makanan kepada kira-kira 24 ketua isi rumah yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) berkenaan.

Tambah beliau, kerajaan perlu menyusun langkah bagi menyediakan penempatan kekal kepada penduduk yang terjejas dalam kebakaran tersebut seperti yang dilakukan semasa zaman pemerintahan Warisan.

“Dahulu, kita agihkan tanah untuk membolehkan mangsa kebakaran membina rumah secara kekal dan ia sudah pun dilakukan.

“Kita tidak boleh membiarkan rakyat berpuluh tahun tinggal di kawasan setinggan, perlu ada perancangan untuk menanganinya terutama bagi perkampungan tradisi,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya