JERANTUT: Kira-kira 400 pengusaha dan penggiat ekopelancongan Taman Negara Kuala Tahan dan perkampungan Melayu pesisir Sungai Tembeling, mukim Ulu Tembeling di sini, menarik nafas lega dan bersyukur selepas kerajaan membenarkan rakyat serta pelancong asing memasuki negara mulai 1 April ini.
Rata-rata kalangan pengusaha pusat inap tempatan dan swasta termasuk pemain industri itu seperti pemandu alam sekitar, pemandu bot penambang, pengusaha restoran dan petugas hospitaliti sudah mencongak peluang pendapatan menerusi ketibaan pelancong luar tidak lama lagi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pekerja hospitaliti Taman Negara, Sabri Abdullah berkata, pembukaan sempadan bakal merancakkan semula aktiviti ekopelancongan Taman Negara dan Ulu Tembeling setelah lebih dua tahun suram akibat ancaman pandemik Covid-19 dan musim tengkujuh.
“Setelah mendengar berita baik itu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kita mendapat panggilan daripada ejen seperti dari Belanda dan negara Eropah memaklumkan telah memasarkan pakej lawatan ke situ kepada pelancong negara masing-masing untuk tahun ini dan 2023.
“Bagaimanapun, pandangan saya, kehadiran pelancong ke Taman Negara tidak akan naik secara mendadak tahun ini kerana kebanyakan pelancong masih ‘tunggu dan lihat’ keberkesanan vaksin serta dos penggalak yang mereka terima di samping kesan suasana negara yang akan memasuki fasa peralihan ke endemik,” katanya semalam.
Pengusaha pusat inap Tahan Guest House Kuala Tahan, Norhasiyati Taharin pula menyambut baik dasar baharu kemasukan rakyat dan pelancong luar ke negara ini yang diumumkan Perdana Menteri untuk manfaat sektor pelancongan bangun kembali setelah ‘tidur’ lebih dua tahun.
“Ramai ejen dan pelancong dari negara Itali dan Eropah yang pernah menginap di sini sebelum penularan wabak Covid-19 (sebelum 2019) sudah menghubungi saya untuk mengetahui perkembangan lanjut mengenai destinasi hutan tropika di samping syarat dan peraturan masuk khususnya berkaitan pengawalan wabak halimunan ini,” katanya.
Sementara itu, pengusaha pusat inap Sat Lodge dan bot penambang Kuala Sat, Alias Hashim berkata, pengusaha tempatan gembira serta teruja untuk menerima kehadiran pelancong luar dari negara Belanda dan Eropah termasuk Asia yang sinonim dengan tarikan makanan berasaskan ikan liar Sungai Tembeling dan keindahan alam sekitar di situ. – UTUSAN