KOTA KINABALU: Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti seharusnya diluluskan secepat mungkin tanpa perlu ada sebarang ugutan daripada mana-mana pihak untuk meluluskannya.
Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, RUU itu perlu diluluskan bagi mengelakkan sistem demokrasi di negara ini terus tercemar susulan tindakan wakil rakyat melompat parti.
“Akta ini memang perlu dilaksanakan jadi, tidak perlu tunggu, kalau tidak dibentang maka tarik sokongan.
“Kita kena lihat bagaimana perincian akta ini agar RUU tersebut diluluskan. Jika tidak diluluskan, ia cemarkan sistem demokrasi yang ada. Mandat rakyat yang diberikan kepada seseorang itu tidak harus dikhianati dengan lompat sana sini.
“Itu antara perkara yang perlu diatasi oleh pemimpin yang ada dengan membawa RUU ini ke Dewan Rakyat untuk diluluskan, Jangan tunggu, main ugut.
“Kena ada konsensus, kalau tidak buat begitu maka, kita tekan butang, tak payahlah. Kita kena bersuara pastikan RUU seumpama ini dibawa dan diluluskan namun, perinciannya kena ada,” katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Warisan hari ini.
Menurut beliau, jika yang keluar adalah satu kumpulan parti contohnya keluar daripada Pakatan Harapan (PH) mahupun keluar daripada Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN), harus jelas apa tindakan yang boleh diambil.
Walau bagaimanapun, sekiranya ia membabitkan seorang individu maka, tindakan disiplin harus diambil.
Ahli Parlimen Semporna itu berkata, perincian yang jelas perlu ada bagi memastikan seseorang yang melompat parti itu tidak harus dibenarkan bertanding semula.
“Bagi saya jangan galakkan orang sebegini bertanding semula. Contohnya jika pengedar dadah boleh digantung seumur hidup maka, pengajaran sebegitu juga perlu kepada ahli politik.
“Lain cerita kalau mereka berkumpulan keluar daripada gabungan. Banyak perkara perlu diperincikan tentang perkara ini.
“Namun saya setuju RUU ini jangan tunggu lagi. Saya sudah membahaskan perkara ini di Dewan Rakyat malah, saya sudah maklumkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) bahawa usul ini perlu dibawa,” katanya.
Semalam, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengingatkan kerajaan bahawa memorandum persefahaman (MoU) dimeterai akan terbatal jika Akta Anti Lompat Parti tidak dibawa ke Parlimen.-UTUSAN