Tak mengaku miliki lima tanah, wang tunai hasil aktiviti haram

2 ahli perniagaan tak mengaku miliki lima tanah, wang tunai hasil aktiviti haram

MUHAMAD Semail (kiri) dan peguamnya, Mohd. Shukri keluar dari Mahkamah Sesyen Kota Bharu selepas prosiding pertuduhan pengubahan wang haram terhadapnya selesai hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang Ketua Pegawai Operasi sebuah syarikat berdepan lima pertuduhan memiliki lima bidang tanah bernilai RM580,000 hasil pengubahan wang haram dalam tempoh lima tahun di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Tertuduh, Muhammad Semail, 43, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zaman Mohd. Noor.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki sebidang tanah GM 721 Lot 1840 di Kampung Gong Kulim, Pasir Puteh yang bernilai RM60,000 hasil pengubahan wang haram manakala bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memiliki sebidang tanah GM 2120 Lot 1767 berkeluasan 0.4921 hektar di Kampung Kuala Rekan, Mukim Repek, Bachok bernilai RM80,000 melalui cara sama.

Bagi pertuduhan ketiga, lelaki itu didakwa memiliki sebidang tanah GM 2560 Lot 3087 berkeluasan 0.3918 hektar di Tiang Layar, Mukim Repek, Bachok yang bernilai RM270,000 manakala pertuduhan keempat, dia didakwa memiliki sebidang tanah GM 2561 Lot 3088 berkeluasan 0.3921 hektar di Tiang Layar, Mukim Repek, Bachok yang bernilai RM70,000.

Bagi pertuduhan terakhir, Muhammad didakwa memiliki sebidang tanah HSM 430 PT 396 berkeluasan 0.7271 hektar di Kampung Alor Pulai, Mukim Rusa, Bachok bernilai RM100,000.

Kesemua kesalahan berkaitan pengubahan wang haram itu dilakukan oleh tertuduh di Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh dan Bachok pada 23 Mac 2015 sehingga 12 September 2020.

Sementara itu, dalam prosiding di mahkamah sama, bekas Pegawai Jabatan Imigresen yang kini pengarah sebuah syarikat, Abu Yazid Mohd, 38, mengaku tidak bersalah memiliki wang tunai berjumlah RM269,484.35 dalam akaun Bank CIMB Berhad miliknya yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Bank CIMB Berhad, Cawangan Jalan Maju di sini pada 1 Julai 2021.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu atau RM5 juta mengikut yang mana lebih tinggi.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta mengikut yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Nik Hasline Hashim manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Mohd. Shukri Ahmad Mansor.

Abu Yazid sebelum ini dihadapkan bersama Muhammad dan tiga individu lain atas 81 pertuduhan terlibat dalam pengubahan wang haram jutaan ringgit membabitkan sindiket pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Terdahulu, Nik Hasline memohon kes kedua-dua tertuduh dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Jenayah 9 Kuala Lumpur agar prosiding kes berkenaan dapat berjalan bersama pertuduhan yang dihadapi mereka sebelum ini.

Menurutnya, jumlah jaminan sebanyak RM250,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua tertuduh yang dikenakan terhadap mereka juga masih boleh diguna pakai dalam kes terbaharu itu.

Mahkamah kemudian menetapkan 20 April ini untuk sebutan semula kes di Kuala Lumpur. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya