pembinaan baharu

Tabung dana pembinaan baharu Masjid An-Nur dilancar

DR. Norhafizah Musa membacakan doa sebelum memecahkan bongkah ais sebagai gimik pelancaran Tabung Wakaf Dana Pembinaan Baharu Masjid An-Nur di Saujana Utama, Sungai Buloh, malam tadi. -IHSAN MASJID AN-NUR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kuala Selangor: Masjid An-Nur, Saujana Utama, Sungai Buloh dekat sini melancarkan Tabung Dana Wakaf Pembinaan masjid baharu yang bernilai RM7.9 juta, malam tadi.

Pelancarannya disempurnakan oleh pendakwah, Datuk Dr. Ustazah Norhafizah Musa yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur.

Beliau berkata, golongan wanita boleh berperanan penting dalam menjayakan program wakaf termasuk dana pembinaan baharu Masjid An-Nur untuk menampung pertambahan bilangan jemaah dan juga memberi lebih keselesaan.

Menurutnya. pada zaman Rasulullah SAW pun ketika selesai solat hari raya, baginda akan hamparkan rida’ (serban) baginda bagi di hadapan kaum muslimat untuk membolehkan mereka berinfak dan bersedekah.

“Memang golongan wanita ini mempunyai pengaruh yang besar kepada para suami untuk bersedekah dan menginfakkan harta ke arah kebajikan. Ini memang terbukti berdasarkan pengalaman saya membangunkan pusat tahfiz dulu.

“Ketika pembangunan Maahad Tahfiz Integrasi Madinatul Huffaz ramai golongan wanita berjaya memujuk para suami yang terdiri daripada ahli perniagaan dan kontraktor menjayakan pembinaannya.

“Malah, saya cukup terharu apabila seorang ibu tunggal yang kematian suami mewakafkan RM600,000 semasa fasa pertama pembangunan maahad kami,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjadi ahli panel Forum Perdana anjuran pengurusan Masjid An-Nur bertajuk Ahlan Ya Ramadan bersama Pengasas Darul Fawwaz (Pusat Pengajian al-Quran & Fardu Ain), Muzayyanah Abdullah. Forum dipengerusi oleh Juara Akademi Al-Quran Musim 3, Fakhrul Radhi UNIC.

Hadir sama, Nazir Masjid An-Nur, Hamzah Mohd Amin, arkitek Ikatan Cipta Bina Sdn. Bhd., Hishamuddin Abu Hassan dan Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Seri Pagi, Wan Ismail Hashim.

Program yang disaksikan oleh kira-kira 300 jemaah itu turut disiarkan secara langsung menerusi Fb Masjid An-Nur.

Dalam majlis itu, Norhafizah turut memecahkan ukiran ais berbentuk kubah masjid yang dihasilkan oleh Cef Jafri Mohamad sebagai gimik pelancaran.

Cef Jafri yang pernah mengharumkan nama Malaysia dalam pertandingan peringkat antarabangsa turut mengadakan demonstrasi mengukir ais untuk tatapan para jemaah bermula pukul 6.45 petang.

Cef Jafri Mohamad melakukan kerja kekemasan terakhir pada bongkah ais
di Masjid An-Nur, Saujana Utama, Selangor semalam.

Sementara itu, Hamzah berkata, dana berjumlah RM7.9 juta diperlukan bagi pembinaan baharu Masjid An-Nur bagi menampung pertambahan penduduk di Saujana Utama.

Katanya, masjid pertama yang dibina di kawasan perumahan itu pada 2003 kini semakin uzur dan memerlukan kos penyelenggaraan yang tinggi.

Sehubungan itu, satu jawatankuasa dilantik bagi menilai kerosakan dan mendapati adalah lebih efektif dari segi kewangan untuk naik taraf bagi jangka panjang.

“Ini kerana struktur utama masjid sudah mengalami hakisan, selain masalah pendawaian dan kebocoran pada bumbung,” katanya.

Orang ramai boleh membantu dengan menyumbang ke akaun Bank Islam nombor 140 140 10111 399 atas nama Masjid An-Nur. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN