JOHOR BAHRU: Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selesai mengundi bersama keluarganya di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sutera di sini hari ini.
Ahli Parlimen Muar itu tiba di pusat mengundi itu bersama keluarga kira-kira pukul 9.30 pagi tadi.
“Alhamdulillah semua berjalan sangat teratur. Saya dengan seluruh keluarga turun untuk menunaikan tanggungjawab kami sebagai warga Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merayu kepada semua rakyat negeri ini untuk keluar mengundi sekiranya mereka belum melaksanakan tanggungjawab itu.
“Ini ada pilihan raya sangat penting bukan saja bersejarah undi18, tetapi tentukan nasib negeri 5 tahun akan datang.
“Jangan kerana kegagalan untuk mengundi dan bertindak, akhirnya kumpulan lain akan menguasai hak dan suara kita,” katanya kepada pemberita.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu yang tiba dengan memakai baju batik diiringi calon Pakatan Harapan (PH), Liew Chin Tong bagi proses pemilihan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling.
Kerusi DUN Perling menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Chin Tong dengan calon Barisan Nasional (BN), Wong You Fong dan calon Perikatan Nasional (PN), Khoo Siaw Lee. – UTUSAN