Syarikat Jepun labur RM910 juta di Kelantan - Utusan Malaysia

Syarikat Jepun labur RM910 juta di Kelantan

MUSTAPA Mohamed (dari kiri) bersama Mohamed Azmin Ali dan Ahmad Yakob menyempurnakan majlis pecah tanah fasiliti dan kilang tambahan RWEM di Pengkalan Chepa, Kota Bharu. - UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kelantan menerima pelaburan tambahan bernilai RM910 juta menerusi pembesaran kilang dan fasiliti syarikat elektronik terkemuka dari Jepun, ROHM-Wako Electronics (Malaysia) Sdn. Bhd. (RWEM) di Pengkalan Chepa, di sini.

Di samping mewujudkan 346 peluang pekerjaan dalam sektor elektronik berimpak tinggi kepada anak tempatan, pelaburan itu meletakkan Kelantan sebagai negeri pengeluar semikonduktor terbesar di Pantai Timur.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan mengalu-alukan kesediaan syarikat antarabangsa yang kini sudah pun mempunyai 3,000 pekerja itu membesarkan operasinya di Kelantan.

“Projek ini juga adalah sejajar dengan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah hab pelaburan strategik global dengan menjana pelaburan berimpak tinggi.

“Fasiliti baharu milik RWEM akan dibina setinggi tiga tingkat dengan keluasan kira-kira 29,580 meter persegi pada suku pertama 2022 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Ogos 2023,” katanya dalam Majlis Pecah Tanah RWEM di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Mohamed Azmin secara bersama dengan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Sementara itu, Presiden RWEM, Hideki Hashimoto berkata, projek pembesaran fasiliti itu amat penting untuk pertumbuhan perniagaan dan inovasi secara berterusan dan pihaknya amat yakin dengan keputusan untuk terus melabur di Malaysia.

“Bangunan baharu yang akan dibina dalam premis sedia ada bakal memenuhi permintaan semikonduktor yang tinggi, sekali gus meningkatkan kapasiti pengeluaran keseluruhan kira-kira 1.5 kali ganda,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya