PETALING JAYA: Pelakon versatil, Siti Elizad, berkongsi dirinya kini kembali menjalani proses rawatan kesuburan kesuburan in-vitro (IVF) kali kedua, dalam usaha mendapatkan cahaya mata.
Perkara tersebut dikongsikan pelakon drama Syurga Yang Kedua itu menerusi entri Instagram miliknya.
Menurut Elizad, dia melakukan rawatan berkenaan di lokasi sama dan sekali gus membawa harapan yang sama, selepas lapan tahun bersabar menantikan kehadiran cahaya mata sulung.
“Susahnya nak dapat awak ini. Tempat yang sama dan harapan yang sama. Insya-Allah tidak lama lagi, perjalanan kedua.
“Sedang memilih bulan yang sesuai dan tidak sibuk. Periksa dinding Rahim pagi ini (semalam). Terima kasih doktor @dr.azlin @sophea_fertility,” coretnya ringkas di Instagram.
Pemerhatian Utusan Malaysia mendapati, rata-rata warganet dan rakan artis menitipkan doa yang baik-baik buat pelakon itu agar dipermudahkan segala urusan.
“Semoga dipermudahkan semuanya Kak Ejad ku sayang. Sayang awak,” komen pelakon Syamim Farid.
“Semoga dipermudahkan… yakin dengan rezeki Allah. Insya-Allah!” komen juga penyanyi Syura Badron.
“Ya Allah, kau berikanlah puan Elizad Zuriat yang soleh dan solehah. Kau permudahkan segala urusan beliau. Amin,” tulis juga seorang warganet.
Terdahulu, Elizad pernah menjalani rawatan IVF pertama pada bulan Februari 2020 sebelum disahkan mengalami keguguran pada November tahun yang sama.
Sekadar informasi, Elizad dan Shamsul Baharin Rahman selamat diijab kabulkan pada tanggal 11 Januari 2015.