BALING: Seorang suri rumah berusia 31 tahun didenda RM700 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memiliki status pendaftaran vaksinasi Covid-19 palsu pada tahun lalu.
Noor Azni Mohd. Bakhtin membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim, Najwa Che Mat.
Pertuduhan terhadap Noor Azni dibuat mengikut Seksyen 22 (d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Najwa menjatuhkan hukuman denda RM700 dan memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya tidak membayar denda tersebut.
Noor Azni membayar denda dikenakan.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, dalam kejadian pada 5 Disember tahun lalu, seorang petugas kesihatan di Klinik Kesihatan (KK) Kupang membuat semakan dengan KK Kuala Ketil bagi mendapatkan kepastian mengenai status pemberian vaksin jenis CanSino kepada wanita hamil.
“Pihak KK Kuala Ketil kemudian mengesahkan bahawa vaksin jenis tersebut tidak boleh diberikan kepada individu hamil.
“Selepas siasatan dalaman dijalankan, empat laporan polis dibuat oleh petugas kesihatan KK Kupang dan Kuala Ketil yang mendapati seramai 102 individu dipercayai memiliki status vaksinasi Covid-19 palsu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau memberitahu, pemilikan status vaksinasi palsu tersebut adalah melalui pendaftaran kad vaksinasi Covid-19 dan pengesahan vaksinasi dalam sistem MySejahtera yang diperoleh pada harga antara RM600 hingga RM1,000 setiap satu.
“Polis kemudian melakukan tangkapan ke atas seorang wanita berusia 31 tahun pada 13 Mac lalu sebelum dia dituduh di mahkamah pada hari ini,” ujarnya.- UTUSAN