KOTA BHARU: Selepas membuka farmasi komuniti pandu lalu pertama di Malaysia iaitu di Kubang Kerian bulan lalu, Superbig Capital Berhad melalui Superbig Healthcare Sdn. Bhd. (Superbig Healthcare) berjaya memperkenalkan perkhidmatan sama di enam negeri.
Ketua Pegawai Eksekutif Superbig Capital Berhad, Dr. Wan Sazrina Wan Zaid berkata, negeri lain yang sudah memiliki farmasi komuniti pandu lalu adalah Selangor, Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Perak dan Terengganu.
Selepas ini kata beliau, Superbig Healthcare merancang untuk membuka sekurang-kurangnya dua cawangan farmasi komuniti pandu lalu pada setiap bulan di negeri-negeri yang dikenal pasti.
“Usaha ini telah bermula sejak Januari dan akan diteruskan bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan yang mahu mendapatkan bekalan ubat secara mudah dan cepat tanpa perlu bersesak dan mencari kawasan parkir.
“Pembukaan farmasi yang berkonsepkan pandu lalu seperti diguna pakai restoran makanan segera agak mencabar kerana memerlukan kawasan yang sesuai, namun, insya-Allah kita mampu laksanakan idea ini,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Terdahulu, Superbig Capital Berhad menerima penganugerahan Malaysia Book Of Record (MBOR) sebagai kumpulan farmasi pertama yang memperkenalkan konsep farmasi komuniti pandu lalu di Malaysia.
Wan Sazrina dalam pada itu berkata, selepas sambutan menggalakkan diterima, pihaknya merancang untuk membuka cawangan farmasi tersebut di setiap daerah di Kelantan.
“Kemudahan mengambil ubat secara pandu lalu masih belum berkembang di Malaysia, terutama di kawasan pedalaman. Oleh sebab itu kami akan terus berusaha memperkenalkan perkhidmatan ini,” katanya. – UTUSAN