Suntik dos penggalak: Dekati warga emas

Suntik dos penggalak: Dekati warga emas

GELAGAT kanak-kanak ketika menerima suntikan vaksin Covid-19 semasa Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) bagi berumur lima hingga 12 tahun ketika tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada 4 Mac lalu. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Klinik kesihatan dan persatuan komuniti perlu turun padang mencari serta mendekati kira-kira 350,000 warga emas yang menerima dua suntikan vaksin Sinovac untuk diberi dos penggalak.

Malah, Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (Movac) perlu digerakkan semula bagi membantu warga emas yang sukar bergerak atau sukar dihubungkan dengan pengangkutan awam bagi menerima vaksinasi berkenaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, sekadar meminta warga emas ke pusat pemberian vaksin (PPV) tidak mencukupi kerana mereka mungkin berdepan kekangan untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat.

Menurut beliau, klinik kesihatan digalakkan membuat program turun padang di kawasan masing-masing bagi mendekati warga emas tersebut.

“Antara punca ramai warga emas tidak mengambil dos penggalak kerana mereka dikehendaki berjalan ke PPV, jadi ada kekangan untuk bergerak.

“Oleh itu, klinik kesihatan perlu mengaturkan acara, boleh membuat program barisan hadapan dan turun padang mendekati warga emas. Mereka boleh melawat warga emas dan memberikan dos penggalak kepada mereka,” katanya.

Sinovac

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang merayu kepada 350,000 penerima dos primer Sinovac berusia 60 tahun ke atas supaya mendapatkan dos penggalak dengan segera.

Kira-kira lebih tiga juta warga emas yang berdaftar sebagai penerima vaksin Sinovac.

Pada masa sama, Lam Thye berpandangan, antara punca warga emas tidak mengambil dos penggalak adalah kerana terpengaruh dengan berita-berita palsu yang tersebar di media sosial dan Internet.

“Banyak berlaku penyebaran berita palsu, ada yang kata vaksin ini membunuh dan sebagainya, ini adalah kempen menakut-nakutkan keseluruhan masyarakat.

“Pihak berkuasa perlu menyangkal segala berita-berita palsu mengenai dos penggalak, beri maklumat yang tepat dan betul,” katanya.

Tambahnya, anak-anak juga wajar memainkan peranan dalam memberikan keyakinan kepada ibu bapa mereka dalam pengambilan dos penggalak.

“Dos penggalak ini penting dan terbukti menerusi fakta-fakta sains bahawa ia akan meningkatkan sistem daya tahan diri.

“Kalau ada syak wasangka, jumpa doktor untuk mendapatkan nasihat, bukan terpengaruh dengan media sosial. Persatuan-persatuan komuniti dan warga emas juga boleh membantu memberikan penerangan dan meyakinkan mereka bahawa vaksin ini adalah selamat untuk diambil,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya