Sultan Johor titah bakal Exco isytihar harta - Utusan Malaysia

Sultan Johor titah bakal Exco isytihar harta

SULTAN Ibrahim Sultan Iskandar menerima menghadap Onn Hafiz Ghazi di Johor Bahru, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah supaya calon-calon Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor yang bakal dilantik perlu membuat pengisytiharan harta.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan menerima menghadap Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, di sini semalam.

“Mereka (bakal calon Exco) perlu juga melalui semakan latar belakang yang menyeluruh dengan polis serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Jika ada yang tidak terpilih menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri jangan kecil hati. Semua boleh memberi perkhidmatan yang sebaiknya,” titah baginda kepada Royal Press Office (RPO).

Pertemuan bersama Sultan Johor berlangsung selama hampir sejam dan baginda turut bertitah supaya kelayakan akademik setiap calon-calon juga disemak kesahihannya dengan teliti.

“Pilihan raya sudah pun habis. Kini tiba masanya untuk semua wakil rakyat merapatkan barisan dan bekerja bersama-sama dalam memakmurkan Johor. Saya pegang kata-kata Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad, tiada ideologi, ahli politik dan parti yang lebih besar, lebih penting dan lebih utama daripada Johor Darul Ta’zim,” titah baginda.

Sultan Johor bertitah, baginda sentiasa mengutamakan nasib rakyat dan begitu juga wakil rakyat yang dipilih perlu melaksanakan tanggungjawab dengan berkhidmat kepada rakyat.

“Mana-mana Exco yang tidak mampu melaksanakan tugas mereka kelak, maka Menteri Besar perlu segera menggantikan Exco berkenaan. Begitu juga nasihat saya kepada Menteri Besar supaya menumpu pada tugas dan tanggungjawab kepada negeri dan rakyat. Jangan termakan budi. Di peringkat awal ini, Datuk Onn juga perlu bekerjasama dengan Datuk Seri Hasni dalam mendapatkan pandangan atau nasihat,” titah baginda. 

Kelmarin, cicit kepada Pengasas dan Presiden UMNO, Datuk Onn Jaafar itu dilantik menjadi Menteri Besar yang baharu dan secara rasmi mengangkat sumpah di hadapan Sultan Ibrahim kira-kira pukul 3 petang.

Onn Hafiz adalah Naib Ketua Bahagian UMNO Simpang Renggam, yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu lalu, dengan majoriti 6,543 undi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya