KUALA LUMPUR: Bermula 1 April ini, aktiviti solat jemaah di masjid, surau atau upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan berkenaan diambil susulan keputusan Malaysia beralih ke Fasa Peralihan Ke Endemik’bermula April ini.
Bagaimanapun katanya, pelaksanaan dan SOP akhir untuk masjid dan surau tertakluk kepada ketetapan Pihak Berkuasa Agama Negeri dan untuk Rumah Ibadat Selain Islam tertakluk kepada Kementerian Perpaduan Malaysia serta Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).
“Ini bermakna selepas ini imam sudah boleh cakap rapatkan saf kerana tiada lagi penjarakan satu meter. Namun, oleh kerana Perlembagaan Persekutuan berkaitan kuasa agama tertakluk kepada kuasa negeri dan juga sultan-Sultan perlu ikut keputusan negeri.
“Walaupun saya maklumkan tiada penjarakan sosial itu cadangan Kerajaan Persekutuan, ketetapan akhir akan diputuskan kerajaan negeri. Kalau negeri cakap ada penjarakan sosial, itu hak setiap negeri,” kata Perdana Menteri dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen, hari ini. – UTUSAN