Suami setia jaga isteri sakit angin ahmar - Utusan Malaysia

Suami setia jaga isteri sakit angin ahmar

MOHD. Rajman Mohamed cekal menjaga isterinya yang sakit angin ahmar di rumah mereka di Taman Agropolitan Rantau Manis, Gua Musang, Kelantan. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Seorang suami cekal menjalankan tanggungjawab menjaga isterinya yang lumpuh separuh badan akibat serangan angin ahmar sejak lebih setahun lalu di Taman Agropolitan Rantau Manis di sini.

Mohd. Rajman Mohamed, 50, yang turut menghidap penyakit saraf dan kencing manis sejak dua tahun lalu mengambil alih tugas mengurus aktiviti harian tiga anak yang masih bersekolah.

Menurut Mohd. Rajman, isterinya, Asmaniza Mohd. Samsudin, 47, kini terlantar dan tidak dapat bergerak normal seperti dahulu.

Katanya, berat badan isterinya hampir 100 kilogram menyebabkannya hanya dapat mengengsot untuk ke bilik air.

“Setiap hari saya terpaksa menguruskan keperluan di rumah termasuk memasak dan membasuh pakaian.

“Isteri saya sebelum ini mempunyai penyakit darah tinggi dan dia tiba-tiba rebah sebelum diserang angin ahmar sehingga menyebabkan badan sebelah kirinya lumpuh,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Mohd. Razman berkata, akibat penyakit saraf yang dialaminya sendiri menyebabkannya cepat rasa penat serta tidak dapat membuat kerja berat.

Katanya, akibat tiada punca pendapatan kerana tidak dapat bekerja, dia terpaksa menggunakan wang Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterima sebanyak RM500 sebulan.

“Sebelum ini saya kerja di ladang kelapa sawit di sini, namun selepas berpenyakit saya tidak dapat meneruskan pekerjaan.

“Jumlah wang RM500 itu memang tidak cukup untuk perbelanjaan apabila saya terpaksa berhutang mengambil barangan makanan di kedai runcit di taman ini sebelum membayarnya setiap bulan,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga berkenaan boleh berbuat demikian dengan menyalurkan sumbangan melalui akaun Agrobank milik Mohd. Rajman bernombor 1006731000066455. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya