Suami isteri maut dalam bilik air kena renjatan elektirk

Suami isteri maut dalam bilik air kena renjatan elektrik

PASUKAN penyelamat dari Balai Bomba Cameron Highlands mengeluarkan mangsa di Taman Puncak Tringkap, Cameron Highlands, Pahang. - IHSAN JBPM PAHANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAMERON HIGHLANDS: Sepasang suami isteri ditemukan meninggal dunia dalam bilik air di rumah mereka di Taman Puncak Tringkap di Cameron Highlands, di sini, hari ini dipercayai terkena renjatan elektrik.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa dikatakan terjatuh di dalam bilik air rumah itu selepas kedua-duanya terkena renjatan elektrik. 

Menurutnya, kejadian bermula ketika mangsa lelaki sedang mandi menggunakan alat pemanas air dalam bilik air sebelum terkena renjatan elektrik dan tidak sedarkan diri. 

“Kemudiannya isteri mangsa terdengar bunyi bising dari bilik air itu dan memeriksa apa sedang berlaku sebelum menjerit dan meminta anak perempuannya berusia 10 tahun membawakan sekeping kayu dan cuba menyelamatkan suaminya. 

“Namun, wanita itu turut terkena renjatan eletrik sebelum tidak sedarkan diri dan anak pasangan itu kemudiannya menghubungi talian kecemasan bagi melaporkan kejadian berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ramli berkata, kerja menyelamat hanya dapat dilakukan selepas petugas dari Tenaga Nasional Berhad (TNB) memutuskan bekalan elektrik di rumah pasangan berkenaan. 

Sementara itu, Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 9.20 pagi dan seramai tujuh pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands ke lokasi kejadian. 

“Berdasarkan siasatan dan maklumat awal, mangsa seorang lelaki berusia 46 tahun dan seorang wanita yang juga isterinya yang berusia 35 tahun. Tiga anak pasangan itu berusia antara dua hingga 10 tahun yang turut berada di kediaman itu ketika kejadian tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Sementara itu, tambah beliau, kedua-dua mangsa disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai kesihatan yang turut serta dalam operasi menyelamat itu. 

“Pasangan mangsa itu diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsum, Tanah Rata untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya