PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan menjelaskan, status vaksinasi Covid-19 hanya bertukar kepada tidak lengkap dan bukannya ‘dihilangkan’ daripada aplikasi MySejahtera bagi penerima vaksin primer Sinovac bermula 1 April ini.
Justeru jelas kementerian itu, mesej yang tular di media sosial berhubung perkara itu adalah palsu bagi penerima vaksin jenis tersebut yang masih belum mendapatkan dos penggalak.
“Untuk makluman, status vaksinasi Covid-19 hanya akan bertukar menjadi tidak lengkap dan bukan dihilangkan seperti yang dinyatakan dalam mesej tersebut,” jelas Kementerian Kesihatan dalam Facebook hari ini.
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan menetapkan status vaksinasi semua penerima vaksin Sinovac berusia 18 tahun dan ke atas dan penerima semua jenis vaksin dos primer berusia 60 tahun dan ke atas menjadi tidak lengkap.
Situasi itu berlaku jika tidak mendapatkan dos penggalak berakhir 31 Mac ini. – UTUSAN