SOSMA: Pas dukacita wakil rakyat pro kerajaan gagal ambil bahagian - Utusan Malaysia

SOSMA: Pas dukacita wakil rakyat pro kerajaan gagal ambil bahagian

TAKIYUDDIN Hassan melakukan gimik perasmian Program Keluarga Malaysia Peringkat Kota Bharu di Maahad Muhammadi, Pengkalan Chepa, Kota Bharu. - UTUSAN/ROHANA MOHD. NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kegagalan Ahli Parlimen pro kerajaan mengambil bahagian ketika sesi pengundian usul melanjutkan tempoh penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), Rabu lalu amat mendukacitakan Pas.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, adalah menjadi tanggungjawab ahli Parlimen untuk mengambil bahagian dalam mana-mana proses membuat undang-undang di Dewan Rakyat.

Sehubungan itu kata beliau, setiap ahli Parlimen sepatutnya tidak boleh mempunyai sebarang alasan untuk tidak hadir ke Dewan Rakyat serta mengambil bahagian dalam sesi pengundian tersebut.

“Dalam Pas, saya menitikberatkan perkara ini terutama dari segi kehadiran kerana Ahli Parlimen diberi peluang seluas-luasnya untuk terlibat dalam proses membuat dan meluluskan undang-undang di Parlimen.

“Kita berdukacita jika satu rang undang-undang kerajaan tidak diluluskan hanya kerana ketidakhadiran ahli Parlimen penyokong kerajaan sendiri,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu menyempurnakan perasmian Program Keluarga Malaysia Peringkat Parlimen Kota Bharu di Maahad Muhammadi di sini.

Semalam, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dilaporkan berkata, Menteri dan Timbalan Menteri yang tidak hadir ketika sesi pengundian usul untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa SOSMA pada Rabu lalu wajar dipecat.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, sebarang bentuk tindakan tatatertib seperti memberi amaran dan teguran ke atas ahli Parlimen terbabit boleh diambil mengikut kesesuaian parti masing-masing.

“Ketua whip setiap parti mempunyai kuasa untuk berbuat demikian sama ada memberikan amaran atau sebaliknya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya