SOSMA: Kerjasama kerajaan dan PH perlu dinilai semula

SOSMA: Kerjasama kerajaan dan PH perlu dinilai semula

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mungkin tiba masanya kerajaan bergerak ke hadapan dan tidak perlu lagi menunggu Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik bersama Pakatan Harapan (PH) matang pada Julai ini susulan kegagalan meluluskan tempoh kuat kuasa Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, kerajaan yang terbentuk, bertahan dan berfungsi menggunakan mekanisme memorandum persefahaman adalah sangat berisiko. 

Jelas beliau, apatah lagi apabila PH sebenarnya adalah pihak yang tidak boleh dipercayai dan memang sudah jadi kebiasaan untuk memungkiri janji.

“Sesi Parlimen petang semalam terbukti mereka tidak teragak-agak untuk melanggar pendirian dan janji mereka.

“Saya percaya, semua ini memberi tamparan hebat kepada kerajaan dan satu peristiwa yang sangat memalukan. Ia secara langsung mewajarkan kerajaan untuk menilai semula kedudukan kerjasamanya dengan PH,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dewan Rakyat semalam gagal meluluskan usul untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk tempoh lima tahun lagi.

Usul itu ditolak selepas keputusan undian belah bahagian menunjukkan hanya 84 Ahli Parlimen menyokong, manakala 86 Ahli Parlimen tidak menyokong, selain 50 Ahli Parlimen tidak hadir.

Kegagalan usul itu menyebabkan Kementerian Dalam Negeri tidak dapat melanjutkan kuat kuasa Subseksyen 4(5) bermula 31 Julai depan.

Dalam pada itu, Mohamad menjelaskan, malah sesi Dewan Rakyat petang semalam yang menyaksikan usul kerajaan untuk melanjutkan peruntukan Seksyen 4(5) SOSMA 2012 gagal diluluskan berdasarkan kiraan undi majoriti mudah, menunjukkan sesuatu yang tidak dijangka.

Katanya, ia sekali gus memperlihatkan sikap sambil lewa, bahawa rang undang-undang sepenting itu tidak diuruskan dengan strategik sebelum dibentangkan.

“Ini agaknya semua beranggapan bahawa sudah wujud persefahaman yang jelas antara kerajaan dan pembangkang dalam hal-hal atau usul-usul yang melibatkan reformasi undang-undang dan dasar khususnya seperti yang dizahirkan dalam Perkara Tiga Memorandum Persefahaman antara kerajaan dan pembangkang.

“Semua yang berlaku ini menunjukkan dengan jelas bahawa kerjasama dan persefahaman kerajaan dan pembangkang sebenarnya sangat sukar untuk diuruskan dengan berkesan.

“Adalah tidak keterlaluan untuk mengambil pendirian bahawa persefahaman tersebut sebenarnya telah gagal berfungsi seperti yang diharapkan,” tegas beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya