Soon Hai guna kedai telefon bimbit sebagai bilik gerakan tambahan - Utusan Malaysia

Soon Hai guna kedai telefon bimbit sebagai bilik gerakan tambahan

LIM Soon Hai membantu seorang penduduk yang memerlukan bantuan ketika menyantuni penduduk di Taman Ungku Tun Aminah di Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai, Lim Soon Hai menjadikan kedai telefon bimbit miliknya di Taman Ungku Tun Aminah di sini sebagai bilik gerakan tambahan bagi memudahkan penduduk setempat bertemunya.

Inisiatif yang diambil anak jati Skudai itu selain mempunyai bilik gerakan di Taman Universiti, dekat sini bagi membantu parti menamatkan dominasi DAP daripada Pakatan Harapan (PH) yang sudah menyandang kerusi berkenaan tiga penggal yang lalu.

Menurut Soon Hai, sebagai calon yang sudah lama menjalankan aktiviti kemasyarakatan di kawasan DUN tersebut, beliau tidak asing lagi dalam kalangan penduduk setempat sebagai calon yang tepat untuk Skudai.

“Saya tidak risau siapa calon yang tandingi saya di Skudai, mereka terbuka untuk bertanding di sini. Saya merasakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini amat penting rakyat membuat keputusan memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang akan mewakili mereka bagi penggal akan datang.

“Pengundi perlu tahu siapa yang selalu ada untuk mereka dan sentiasa mendampingi mereka, bukannya calon yang hanya datang ketika masa tertentu dan selepas itu tidak lagi nampak batang hidung. Macam saya, saya ada kedai di sini dan merupakan orang sini, saya tak akan ke mana-mana. Lagipun, ini bukan pertama kali saya tunjuk muka di sini, jadi pilihlah calon yang benar-benar mampu berjasa kepada mereka,” katanya.

Keinginan Soon Hai bergelar ADUN di kawasan tersebut adalah untuk membawa perubahan yang dapat memberi manfaat kepada penduduk sekitar selain menjadi jambatan yang menghubungkan penduduk setempat dengan jabatan kerajaan, baik dalam menyalurkan aduan mahupun bantuan.

Berbekalkan pengalaman selama tiga penggal menjadi Ahli Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), beliau percaya akan memastikan kebajikan rakyat di Skudai tidak terabai malah tidak ketinggalan menerima limpahan kerancakan ekonomi Johor selepas ini.

“Matlamat saya menjadi calon ialah meneruskan usaha saya sebelum ini lagi dengan membantu seramai mungkin masyarakat setempat khususnya golongan B40, mereka selalu mengadu masalah ke kedai telefon saya dan akan cuba membantu mereka semampu mungkin, itu adalah kepuasan buat saya.

“Sekiranya saya menang nanti, saya bertekad untuk membawa pembangunan di sini membabitkan penambahbaikan dari segi infrastruktur dan prasarana secara berperingkat selain mewujudkan lorong simpang U berhampiran flyover Perling bagi mengurangkan kesesakan di waktu puncak,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya