Solat tarawih mungkin digalakkan 8 rakaat - Utusan Malaysia

Solat tarawih mungkin digalakkan 8 rakaat

IDRIS Ahmad melepaskan konvoi Misi Bantuan Banjir Skuad Musaadah Keluarga Malaysia ke Pantai Timur di Kompleks Islam Putrajaya, hari ini. – UTUSAN/AMREE AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Umat Islam di negara ini berkemungkinan digalakkan menunaikan solat sunat tarawih secara berjemaah dengan bilangan hanya lapan rakaat berbanding 20 rakaat.

 Perkara itu antara prosedur operasi standard (SOP) dibayangkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ekoran kekhuatiran penularan varian Omicron melibatkan jemaah ketika ini.

 Bagaimanapun menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee, ia masih lagi tertakluk ketetapan diputuskan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

 “Mungkin setakat lapan rakaat sahaja tetapi SOP ini belum dimuktamadkan lagi dan akan diumumkan dalam masa terdekat sebelum menjelang awal Ramadan bulan depan,” jelasnya.

 Terdahulu beliau menghadiri acara pelepasan Misi Bantuan Banjir Skuad Musaadah Keluarga Malaysia agensi jabatan tersebut ke Pantai Timur di Kompleks Islam Putrajaya di sini hari ini yang dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad dan melibatkan 10 buah kenderaan dengan seramai 30 peserta ke Terengganu serta Kelantan.

 Tahun lalu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menetapkan 20 rakaat untuk solat tersebut namun dengan bacaan ayat al-Quran yang pendek selepas surah Al-Fatihah.

 SOP tersebut diperkenankan Yang di-Pertuan Agong bagi membolehkan jemaah tidak perlu berada terlalu lama di surau atau masjid susulan kebimbangan varian Delta pada ketika itu.

 Pada tahun sebelumnya pula, umat Islam hanya mendirikan solat tarawih berjemaah di rumah bersama ahli keluarga apabila kerajaan mengarahkan premis ibadah itu ditutup sepenuhnya.

 Kerajaan Arab Saudi turut mengarahkan solat berkenaan hanya ditunaikan lapan rakaat pada Ramadan tahun lalu sebagai ikhtiar bagi mengelak jangkitan wabak Covid-19 sesama jemaah.

 Tarikh 1 Ramadan kali ini dijangka pada 3 April tetapi tertakluk kepada pengisytiharan rasmi daripada Penyimpan Mohor Besar Majlis Raja-Raja yang akan diumumkan sebelum itu.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya