ISKANDAR PUTERI: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan membenarkan solat berjemaah di masjid dan surau seluruh Johor dilaksanakan secara merapatkan sejadah tanpa bersentuhan antara jemaah yang hadir.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, arahan itu akan berkuatkuasa bermula 1 April ini dengan setiap jemaah diminta membawa sejadah sendiri berukuran sekurang-kurangnya 3.5 kaki panjang dan 2 kaki lebar.
“Sementara itu, bagi mengimarahkan bulan Ramadan, solat sunat tarawih hendaklah dilaksanakan sebanyak 20 rakaat dan solat sunat witir pula 3 rakaat. Imam bertugas digalak membaca surah dalam juzuk ke-30 sahaja, manakala imam jemputan perlu mendapat surat kebenaran Kadi Daerah terlebih dahulu.
“Bagi edaran bubur lambuk, jamuan majlis berbuka puasa, sahur dan moreh dibenarkan untuk dilaksanakan secara berbungkus sahaja,” katanya dalam sidang akhbar sempena Pengumuman Kadar Zakat Fitrah 2022, di sini hari ini.
Sementara itu, Mohd. Fared berkata, hanya Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan beliau yang dibenarkan untuk berucap dalam kawasan masjid dan surau, manakala ucapan parti politik atau wakil rakyat lain tidak dibenarkan.
“Program membudayakan al-Quran, kuliah umum, kuliah khas, kelas takmir, taklimat dan kursus serta forum adalah dibenarkan dengan tidak melebihi tempoh dua jam, termasuklah zikir, selawat, wirid dan tarikat.
“Namun bagi aktiviti bermalam adalah ditangguhkan, dan aktiviti masak-memasak masih tidak dibenarkan dengan semua jamuan dilaksanakan secara berbungkus sahaja. Jamuan berhidang dibenarkan sekiranya terdapat program rasmi dengan tidak melebihi 50 jemaah sahaja,” ujarnya. – UTUSAN