ALOR SETAR: Solat berjemaah tanpa penjarakan fizikal dibenarkan di semua masjid dan surau di seluruh negeri ini apabila negara memasuki Fasa Peralihan Endemik pada 1 April ini.
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) dalam kenyataan memaklumkan, kebenaran merapatkan saf itu mendapat perkenan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.
Menurutnya, aktiviti ibadah di masjid dan surau di negeri ini selepas tarikh tersebut juga berdasarkan pelaksanaan garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
Bagaimanapun katanya, jemaah yang menerima dos suntikan vaksin yang lengkap dibenar memasuki tempat ibadat itu.
“Walaupun solat pada bulan Ramadan boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal atau saf boleh dirapatkan tetapi majlis berbuka puasa, sahur dan moreh masih lagi melaksanakan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter,” katanya dalam kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, pihak masjid atau surau perlu menyediakan imbasan QR Code MySejahtera untuk kemudahan kepada jemaah melakukan imbasan tersebut sebelum memasuki tempat ibadat tersebut.
Tambahnya, mereka yang tidak mempunyai telefon pintar dan kawasan liputan internet yang lemah, pihak berkenaan perlu menyediakan buku log serta menyediakan cecair sanitasi tangan.
“Sepanjang berada di premis berkenaan setiap jemaah perlu memakai pelitup muka,” jelasnya.
Menurut kenyataan itu, majlis tadarus al-Quran, qiamulail dan iktikaf masih lagi mematuhi SOP yang sedang dikuat kuasa.
Begitu juga dengan program Ihya Ramadan seperti kuliah dan lain-lain aktiviti pengimarahan perlu juga pematuhan SOP dan penjarakkan fizikal satu meter. – UTUSAN