SMK Suria Jaya beroperasi tak lama lagi - Utusan Malaysia

SMK Suria Jaya beroperasi tak lama lagi

MOHAMAD Alamin (tengah) ketika mengadakan tinjauan di SMK Suria Jaya yang bakal beroperasi setelah terbengkalai sejak tujuh tahun di Parit Yaani, Batu Pahat. - UTUSAN/NUR ALINA HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Penduduk kampung di sekitar Parit Yaani di sini, pastinya lega dengan khabar pembukaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Suria Jaya selepas projek itu terbengkalai sejak tujuh tahun lalu.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin berkata, operasi sekolah berkenaan sebelum ini tertangguh berikutan masalah yang dialami di peringkat kontraktor yang dilantik.

“Punca utama sekolah ini terbengkalai sejak 2015 adalah disebabkan kontraktor sedia ada ketika itu mempunyai masalah daripada prestasi kerja yang tidak memuaskan. Terlalu banyak kelewatan yang dilakukan oleh kontraktor berkenaan dan atas sebab itu kementerian memutuskan untuk menamatkan kontrak kepada kontraktor berkenaan,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat sekolah terbabit di sini hari ini.

Menurut Mohamad, penangguhan projek itu turut memberikan kesan kepada penduduk sekitar berikutan sekolah sedia ada terletak kira-kira lapan kilometer dari lokasi SMK Suria Jaya.

“Justeru, pembukaan SMK Suria Jaya pastinya memudahkan pelajar yang tinggal di kawasan Parit Yaani dan sekitarnya apabila beroperasi nanti. Seramai 1,500 pelajar dijangka memanfaatkan sekolah ini apabila ia dibuka dan untuk peringkat awal seramai 500 pelajar tingkatan satu dan dua akan menggunakan kemudahan fasiliti berkenaan,” katanya.

Menurut beliau, sekolah itu kini sudah menjangkau kemajuan sehingga 97 peratus siap dan bakinya perlu disiapkan segera kerana pembukaan tender telah dilakukan pada tahun ini, justeru kementerian mengambil langkah drastik bagi mempercepatkan pembukaan sekolah berkenaan.

“Kami akan berbincang dengan beberapa lagi kementerian yang melibatkan pengurusan teknikal bagi menyelesaikan masalah projek terbengkalai ini secepat mungkin. Di peringkat kementerian sendiri, kami sudah melakukan perbincangan untuk mempercepatkan perlantikan kontraktor baru kerana kontraktor yang lama telah ditamatkan kontrak mereka pada Disember 2020,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan mana-mana kontraktor yang telah diberi kontrak oleh agensi-agensi pelaksana daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu melaksanakan projek berkenaan dengan penuh tanggungjawab. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya