Siti Healthcare taja anak-anak asnaf belajar

Siti Healthcare taja anak-anak asnaf belajar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Siti Healthcare Sdn. Bhd. dengan kerjasama Persatuan Pembantu Perubatan Malaysia (PPPM) menawarkan program pengajian secara percuma memfokuskan golongan pelajar daripada keluarga kurang kemampuan dan anak-anak asnaf.

Pengerusi Siti Healthcare, Datuk Seri Dr. Muhammad Ali Yahya berkata, pihaknya mengalu-alukan kerjasama dengan mana-mana pihak terutama daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pihak swasta.

“Buat masa ini perbincangan diadakan dengan Yayasan Peneraju Bumiputera dan beberapa lembaga zakat negeri bagi tujuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, menurut beliau, kerjasama dengan PPPM itu bertujuan ‘menaik taraf’ profesion kumpulan pembantu perubatan dan menawarkan peluang pekerjaan kepada mereka yang menamatkan pengajian dalam bidang tersebut.

Katanya, kumpulan pembantu perubatan sebagai kakitangan barisan hadapan di pusat-pusat perubatan wajar mendapat taraf pendidikan yang sewajarnya demi memperkasa perkhidmatan kesihatan di negara ini.

“Kumpulan pembantu perubatan adalah kumpulan kakitangan yang penting kerana mereka terlibat secara langsung dengan doktor, pakar bedah, pembantu doktor dan pesakit. 

“Bagaimanapun syarat kelayakan mereka masih rendah di negara ini, bahkan ada sesetengah majikan tidak mengambil kira latar belakang pengajian dalam bidang ini.

“Sedangkan peranan mereka penting dalam memperkasa perkhidmatan kesihatan premier di negara ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Muhammad Ali berkata, sebagai syarikat penyedia perkhidmatan kesihatan yang sedang berkembang pesat, pihaknya amat memberi penekanan kepada tenaga kerja pembantu perubatan terlatih.

Misalnya, kata beliau, profesion pembantu perubatan di semua rangkaian Klinik Siti ‘dijenamakan’ sebagai ‘Primary Care Executive’ (PCE) manakala ‘Healthcare Executive’ (HCE) diberikan kepada yang mempunyai latar belakang dalam perubatan.

“Melalui kerjasama dengan PPPM ini, kami menyasarkan kira-kira 100 jawatan PCE bertepatan dengan pengembangan Klinik Siti kepada 50 cawangan menjelang hujung tahun ini.

“Bagi jawatan HCE, tidak kurang daripada 20 jawatan ditawarkan untuk mengendalikan program out reach seperti program imunisasi di pedalaman dan di kawasan ladang.

“Selain itu kami menumpukan kepada skim-skim yang diperkenal oleh kerajaan seperti PEKA B40 melalui Protect Health yang memerlukan tenaga kerja mahir daripada kelompok HCE,” katanya.

Beliau juga telah menandatangani sendiri memorandum persefahaman (MoU) dengan PPPM bagi memastikan jalinan kerjasama itu dapat dicapai melalui kaedah terbaik. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN