SHAH ALAM: Desas-desus pemilihan Anthony Loke Siew Fook sebagai Setiausaha Agung baharu DAP semakin kuat selepas Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng sekali lagi mengesahkan beliau tidak lagi bertanding untuk merebut jawatan Setiausaha Agung DAP dalam Kongres Ke-17 parti tersebut hari ini.
Beliau berkata, DAP kini dalam generasi peralihan yang mana pemilihan kepemimpinan baharu akan dibuat termasuk penyandang baharu jawatan Setiausaha Agung yang akan dipilih.
“Ini adalah ucapan terakhir saya sebagai Setiausaha Agung dan saya berterima kasih atas semua sokongan yang diberikan parti kepada saya. Saya berbangga kerana sepanjang tempoh sebagai Setiausaha Agung , DAP mentransformasi daripada bercita-cita menjadi parti pembangkang terbesar kepada bercita-cita menjadi kerajaan.
“Saya berbangga kerana kita berjaya memupuk dua generasi pemimpin DAP seterusnya yang akan meneruskan legasi kumpulan pertama pemuda dan pemudi yang mengasaskan parti kita 56 tahun lalu. Saya bangga kerana saya menyerahkan DAP yang lebih kuat kepada Setiausaha Agung yang seterusnya,” katanya dalam ucapan dasar Kongres Ke-17 DAP hari ini.
Guan Eng menambah, beliau akan menyokong Setiausaha Agung baharu dan bekerjasama dengan generasi baharu pemimpin DAP dan rakan bersekutu untuk membina parti demi sebuah negara yang lebih baik untuk rakyat.
Dalam pada itu, beliau turut menghargai perjuangan bapanya, Lim Kit Siang sempena ulang tahun DAP yang ke-56 di sambut pada 18 Mac lalu yang menyifatkan Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu sebagai lawan yang digeruni.
“Selama beberapa dekad, Perdana Menteri dan Menteri-menteri menganggap Lim Kit Siang adalah satu-satunya lawan mereka digeruni. Sebagai Ketua Pembangkang Parlimen paling lama berkhidmat, wartawan antarabangsa menganggap beliau sebagai Perdana Menteri terbaik yang tidak akan pernah dimiliki Malaysia disebabkan etniknya.
“Beliau adalah rakyat Malaysia ulung kerana keyakinannya tidak terhingga kepada rakyat bahawa mereka akan memilih yang betul berbanding yang salah. Kit Siang dilihat oleh rakyat biasa sebagai seorang negarawan dan seorang berwawasan yang sanggup mengambil jalan kurang popular dan berani membuat keputusan bukan untuk pilihan raya raya-pilihan raya tetapi untuk generasi akan datang,” ujarnya. – UTUSAN