JOHOR BAHRU: Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad kecewa dengan konflik jawatan Menteri Besar Johor yang ke-19 sehingga calon tunggalnya, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad disisihkan.
Shahrir yang juga Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru terkejut apabila mendapat tahu Hasni mengesahkan secara tersirat akan ada pengganti kepada dirinya bagi jawatan Menteri Besar.
Kekecewaan itu amat besar buat bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu apabila malu untuk tunjuk muka dan hadir ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang berlangsung esok.
Dengan situasi yang berlaku di dalam parti ketika ini, Shahrir menyifatkan UMNO tidaklah sehebat mana.
“Malu saya, sepanjang kempen saya ketawakan Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) serta sekutu yang tidak mampu menamakan calon mereka sebagai Menteri Besar.
“UMNO sudah pasti dengan Hasni sebagai Menteri Besar tetapi itu tidak cukup kuat dan UMNO Johor tidak mampu lakukan apa-apa. Jadi, saya malu hendak ke PAU. Boleh dapat mandat rakyat tapi tidak berupaya meletakkan ketua parti sebagai ketua kerajaan, taklah sehebat mana UMNO Johor,” katanya menerusi entri di Facebooknya.
Semalam, Hasni dalam satu kenyataan telah memohon agar orang muda diberi laluan untuk memimpin kerajaan negeri Johor.
Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut itu berkata, cadangan itu berlandaskan faktor sokongan dan kedudukan anak muda yang penting dalam pembangunan Johor.
Semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN), Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengangkat Hasni sebagai calon tunggal Menteri Besar sekiranya mereka menang, malah turut dijadikan poster boy sepanjang kempen.
Namun, situasi itu berubah apabila Hasni yang dijangka akan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar yang baharu memberi bayangan akan memberi laluan kepada calon muda bagi jawatan itu.
Sementara itu, Shahrir berkata, pada PAU yang akan diadakan beberapa hari lagi, beliau sepatutnya menjadi jurucakap untuk UMNO Johor.
“Maaf kepada rakan-rakan. Saya sungguh malu dengan apa yang sudah berlaku selepas sebuah PRN yang kita menang dengan begitu cemerlang sekali di bawah kepimpinan Datuk Hasni,” katanya.
Sebelum ini, terdapat khabar angin yang menyebut dua calon lain iaitu bekas Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi (Machap) dan Datuk Mohd. Puad Zarkashi (Rengit) sebagai calon Menteri Besar. – UTUSAN