KLANG: Shah Alam disasarkan menjadi bandar raya bersih dan seronok untuk diduduki menjelang 2025.
Datuk Bandarnya, Datuk Zamani Ahmad Mansor berkata, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kini sedang berusaha menggembleng idea daripada pelbagai pihak untuk mewujudkan bandar raya lebih mampan dari aspek lanskap, kemudahan asas dan kutipan sampah.
Menurutnya, MBSA turut mewujudkan beberapa sesi percambahan idea dengan ahli akademik daripada pelbagai fakulti Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan lain-lain pihak berkaitan.
“Kita mahu mewujudkan Pelan Tindakan Shah Alam Bersih (PTSAB) dengan mendapatkan idea daripada pelbagai pihak seperti pensyarah UiTM daripada Fakulti Kejuruteraan Awam, Fakulti Pengajian Media dan Fakulti Undang-Undang.
“Sehubungan dengan itu kita juga mengadakan ‘Focus Group Discussion’ (FGD) hari ini dan esok bukan sahaja dengan pihak UiTM malahan wakil-wakil daripada agensi kerajaan, swasta, ahli-ahli MBSA, jabatan-jabatan dalaman MBSA dan wakil daripada komuniti Shah Alam,” katanya selepas merasmikan Sesi FGD yang dihadiri 130 peserta di Hotel Wyndham Acmar hari ini.
Mengulas mengenai program MBSA untuk meningkatkan kebersihan bandar raya, Zamani menjelaskan, pihaknya masih meneruskan program kitar semula bersama pihak korporat dan penghuni rumah strata.
“Kita akan terus menguar-uarkan program kitar semula bagi meningkatkan kebersihan dalam kalangan warga bandaraya. Walaupun dalam musim pandemik Covid-19 kita tetap aktif mengadakan program dengan pemegang taruh sektor kebersihan,” katanya. – UTUSAN