Sewa bazar melambung

Sewa bazar Ramadan melambung

Kadar sewa bazar Ramadan di beberapa negeri melonjak sehingga 70 peratus tahun ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kadar sewa tapak bazar Ramadan di beberapa negeri melambung melebihi 70 peratus yang membebankan peniaga kecil yang baru bangkit setelah jatuh teruk ketika pandemik dua tahun lepas.

Keadaan yang sama berlaku di Kuantan, Pahang di mana peniaga merungut kerana kadar sewa tapak bazar Ramadan dan Aidilfitri kali ini disifatkan mereka terlalu tinggi antara RM8,000 ke RM9,000. Tahun lalu kadar sewa adalah RM6,500.

Antara faktor yang menyum­bang kepada kenaikan itu adalah penambahan peraturan baharu seperti perkhidmatan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di tapak bazar-bazar Ramadan dan tambahan permit perayaan.

Kenaikan kadar sewa itu bukan sahaja membebankan peniaga sehingga jumlah memohon berniaga kali ini berkurangan, malah kesannya ditanggung pengguna ekoran juadah dijual di bazar Ramadan dijangka meningkat.

Yang Dipertua Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Kedah, Baharudin Mohd. Ali berkata, peniaga kecil di negeri itu mengeluh apabila sewa tapak bazar Ramadan mengalami kenaikan lebih 70 peratus tahun ini.

Katanya, kenaikan sewa tapak dianggap tidak wajar kerana kos penyelenggaraan sepanjang Ramadan turut ditanggung peniaga.

“Harga sewa tapak bazar Ramadan sebelum ini sekitar RM150 untuk beberapa tahun lalu. Tetapi tahun ini sewa naik terlalu tinggi sehingga RM260.

“Lebih mengecewakan kenaikan tanpa sebab ini tidak wajar kerana peniaga tidak disediakan khemah seperti dahulu. Di mana rasionalnya? Sewa tapak naik tetapi kemudahan seperti khemah tidak disediakan.

“Kenaikan bertambah di lo­kasi yang menjadi kegemaran ramai. Saya kira ini sangat membebankan peniaga,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, Naib Yang Dipertua 2 Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Selangor, Kamal Ahmad Abdullah, ada caj baharu dikenakan di kawasan tertentu umpamanya di Petaling Jaya melibatkan kenaikan hampir 100 peratus.

“Kalau dahulu kadar sewa RM195, sekarang menjangkau hampir RM400. Permit bazar Ramadan, kemudian permit pe­rayaan dan kawalan keselamatan oleh Rela untuk pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19. Lebih mahal kerana ada tambahan permit perayaan. Permit itu baharu dikenakan tahun ini,” katanya.

Beliau menambah, perkara itu pernah dirujuk kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan, namun difahamkan ketetapan itu dibuat oleh kerajaan negeri.

Sementara itu Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Malam Shah Alam dan Klang, Kamarul Nizam Razak memaklumkan, kenaikan harga kebanyakannya berlaku membabitkan bazar yang diurus pihak swasta.

Namun, dia menjelaskan berbanding di kawasan lain, tiada kenaikan dilihat dalam caj oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Kamal berkata, di Bazar Aidilfitri Klebang, Melaka, berlaku kenaikan daripada RM4,500 tahun lalu kepada RM5,000 kali ini.

Katanya, kenaikan sebanyak RM500 kerana tapak telah berpindah semula ke lokasi asal di Taman Klebang Utama berbanding sebelumnya iaitu di hadapan Cafe Bustel.

“Kenaikan RM500 hanya pada khemah 20 X 20, tapi bagi saya ia tidak membebankan sebab bazar telah kembali ke tempat asal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya