Antara ribuan bintang, cahaya anak seni ini menyinar terang dan bergemerlapan. Beliau tokoh seni yang disegani, menjadi inspirasi ramai penyanyi generasi kini.
Datuk Ramli Sarip satu nama besar yang dipandang tinggi. Jasa beliau kepada industri seni tanah air terlalu besar. Sewajarnya beliau dijulang dan dihormati.
Lebih lima dekad menabur bakti sebagai anak seni, tentunya pengalaman yang dimiliki seorang Ramli Sarip terlalu besar nilainya.
Kira-kira 53 tahun yang lalu beliau bermula bersama kumpulan rock terkenal Sweet Charity.
sehingga sekarang ini, beliau masih menyanyi menggubah lagu dan menulis lirik. Itu kehebatan anugerah Tuhan buat seorang insan seni yang terkenal dengan panggilan Papa Rock ini.
Baru-baru ini saya berpeluang bertemu legenda ini. Banyak cerita menarik dikongsikan beliau. Antara yang beliau kongsikan adalah liku perjalanan ketika awal menjadi insan seni lebih 50 tahun yang lalu.
“Setiap anak seni ada susah senangnya. Tapi, walau apa pun, bakat itu kena ada. Awak ada bakat, boleh pergi jauh. Jaga baik-baik kelebihan yang dianugerahkan.
“Di awal pembabitan saya, banyak juga kesukaran yang saya tempuhi. Tambahan pula ketika tahun awal 80-an dahulu, lagu-lagu rock tidak mudah diterima. Saya masuk industri ketika penyanyi-penyanyi Rock dianggap pembawa budaya kuning.
“Tetapi lama kelamaan, kami percaya, kami hanya bermuzik. Benda-benda negatif, yang menyalahi undang-undang kami tolak tepi,” kongsinya.
Bercerita lanjut, Ramli berkata pengorbanan dan komitmen yang diberikan dahulu tidak menjadi sia-sia. Sehingga kini dia masih bertahan kerana keinginan yang menebal dalam diri.
“Ada juga. Saya dan anggota Sweet Charity yang lain percaya, tiada apa yang merugikan. Kami hanya mahu bermain muzik. Apabila peminat yakin terhadap seni yang kami bawakan, itu memberi keyakinan kepada kami.
“Selepas itu. Syarikat rakaman mula membuka mata, terima kami. Sweet Charity antara kumpulan Rock terawal yang diterima baik dalam industri muzik tempatan. Itu satu kenangan manis,” katanya lagi.
“Bila kita nak jadikan seni sebagai mata pencarian, kita kena berkorban. Awak nak berhenti kerja? Kerja separuh masa atau macam mana? Awak perlu pengorbanan untuk dapatkan kebebasan. Restu orang tua itu penting,” ceritanya lagi.
Antara album terbaik pernah dihasilkan
Pada usia 69 tahun, penyanyi legenda ini masih mengeluarkan album. Itu adalah pencapaian membanggakan tatkala kebanyakan penyanyi masa kini hanya tampil dengan single.
Bagi Ramli, album terbarunya, Rasa, mempunyai keistimewaan tersendiri. Katanya, ia adalah simbolik kepada perjalanan seni.
“Saya suka gunakan perkataan rasa. Bila membuat persembahan atau bermain muzik, mesti ada rasa. Ia bukan ilham. Tetapi kurniaan Ilahi yang diberi kepada kita. Bila orang hilang rasa dan perasaan, ia jadi lain.
“Kalau awak dengar album ini. Ia peningkatan dalam diri saya. Secara peribadi, boleh saya katakan ini antara album terbaik yang pernah saya hasilkan.
“Album ini memberi kenangan yang sangat manis dan spiritual untuk saya. Ketika sesi rakaman, tiga empat kali saya mengalirkan air mata. Banyak kenangan. Teringatkan kawan, keluarga yang telah pergi. Ia memberi saya inspirasi yang kuat.
Rasa mengandungi hasil karya unik dan istimewa yang lahir dari keikhlasan seorang legenda. Kata Ramli lagi, lagu-lagu ditampilkan sarat dengan nilai kemanusiaan yang cukup bermakna.
“Saya rakam semula lagu Ayah dan Ibu. Kenapa? Saya rasa, penting untuk kita semua yang masih ada ayah dan ibu meletakkan mereka ditempat yang tinggi. Pengorbanan mereka terlalu besar.
“Lagu Srikandi ada kaitan dengan gabungan. Empat wanita agung, Maryam, Fatimah, Aisyah dan Khadijah yang dijamin Allah SWT untuk masuk ke syurga. Lagu itu juga untuk para ibu, ibu tunggal dan isteri. Mereka ini sangat berjasa.
“Saya juga telah keluarkan satu tema untuk persembahan akan datang, Insya-Allah. Ronggeng Rakyat, Nyanyian Sejagat, Kekasihku, Cinta Disebalik Musim. Saya berani cakap, susah untuk saya dapatkan lagi album seperti ini,” kongsinya.
Diduga wabak Covid-19
Pengalaman dijangkiti wabak Covid-19 pada pertengahan bulan lalu bukanlah satu cerita yang sengaja disenyapkan seorang Ramli Sarip.
Kata anak seni yang cukup disegani ini, beliau bersyukur kerana gejala-gejala yang dia alami adalah ringan dan tidak kronik.
“Saya rasa biasa sahaja. Selera makan seperti biasa. Malah, makin bertambah. Cuma adalah rasa keletihan.
“Ramai kawan-kawan saya menolak vaksin. Saya katakan pada mereka, ambillah. Bila diberi kesempatan, pergi ambil. Sebelum disekat itu ini. Saya maklumkan juga kepada orang rumah. Bila dibuka pengambilan vaksin, ambil.
“Sekarang masjid dah dibuat sekatan. Sejak awal pandemik, Alhamdulillah Allah SWT benarkan saya masuk masjid,” katanya.
Tidak dinafikan, ketika bersua empat mata dengan legenda ini, saya kagum. Ramli Sarip masih bertenaga, masih sihat dan ceria meskipun usianya bakal menginjak angka 70, tahun ini.
Kata Ramli, sejak di usia remaja, dia cukup berdisiplin dalam penjagaan dirinya dan sentiasa mengelakkan perkara yang memudaratkan.
“Saya amalkan pemakanan sunnah dan banyak berdoa. Saya makan apa yang saya nak, tetapi adakalanya, saya tak makan. Kalau memang ada makanan yang lazat, makanlah.
“Selepas itu seimbangkanlah semula. Saya tidak merokok. Itu adalah disiplin. Saya ingat lagi kata-kata yang disampaikan arwah ayah saya, ketika saya berumur belasan tahun.
“Katanya, kalau nak jadi penyanyi, tidak perlu ambil ini, itu. Menyanyi biar tulus dan ikhlas, dia akan bersih. Macam itulah kata-katanya. Jadi saya, akan nyanyi sahaja. Dan jaga disiplin,” ujarnya.