KOTA KINABALU: Sentimen kenegerian disifatkan sebagai punca kekalahan Parti Warisan (Warisan) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, sentimen kenegerian banyak digunakan oleh Parti Tindakan Demoktratik (DAP) dan Barisan Nasional (BN) semasa berkempen.
Beliau berkata, mereka memainkan sentimen bahawa Warisan tidak seharusnya berada di Semenanjung Malaysia kerana parti itu berasal daripada Sabah.
“Kewujudan kita (di Semenanjung) adalah untuk menyatukan rakyat Malaysia kerana gelombang perkauman begitu menebal di Semenanjung dengan Pas memainkan isu keagamaan manakala, UMNO dan DAP pula memainkan isu bangsa.
“Situasi politik sebegini akan membantutkan usaha membina sebuah negara yang maju,” katanya dalam sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK), hari ini.
Ahli Parlimen Semporna itu berkata, bukan bermakna Warisan daripada Sabah dan kepimpinannya daripada Sabah maka, Warisan tidak boleh melebarkan sayap di Semenanjung.
Hari ini kepimpinan Warisan di Semenanjung terdiri daripada pemimpin-pemimpin Semenanjung.
Jika dilihat, beliau sendiri tidak bersetuju dengan kemasukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ke Sabah namun, Bersatu tetap juga masuk Sabah.
Mengulas lanjut katanya, penerimaan rakyat di Johor terhadap Warisan agak baik maka, tidak timbul istilah Warisan ditolak sepenuhnya kerana Warisan masih memperoleh kira-kira 6,000 undian secara keseluruhannya.
Kekalahan dalam pilihan raya adalah perkara biasa namun, sekiranya Warisan mempunyai cawangan dan bahagian serta masa yang lebih panjang maka, berkemungkinan parti itu boleh meraih lebih banyak undi.
“Ini adalah percubaan awal untuk kita mempersiapkan diri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Kita mahu melihat kerangka penerimaan pimpinan di peringkat negeri Kedah, Pulau Pinang dan Johor agar kita tahu struktur di negeri-negeri berkenaan,” katanya.-UTUSAN