Semua kelas kenderaan awam boleh rentas Malaysia-Singapura - Utusan Malaysia

Semua kelas kenderaan awam boleh rentas Malaysia-Singapura

Semua kelas kenderaan awam boleh rentas sempadan Singapura-Malaysia menjelang 1 April ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menjelang tarikh pembukaan sempadan darat Malaysia – Singapura pada 1 April ini, semua kelas perkhidmatan kenderaan pengangkutan awam dibenarkan beroperasi.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, kedua-dua negara turut membenarkan semua pengembara lengkap vaksinasi untuk merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian saringan Covid-19, termasuk ujian pra-pelepasan dan semasa ketibaan. 

“Kebenaran ini terpakai kepada semua kategori pengembara dan penggunaan semua jenis pengangkutan darat, termasuk semua kelas kenderaan perkhidmatan awam rentas sempadan seperti bas henti-henti, bas ekspres, bas pelancongan, bas pekerja dan teksi rentas sempadan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Menurut beliau, orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak operator yang berkenaan mengenai status pengoperasian perkhidmatan rentas sempadan yang bakal disediakan.

Dalam pada itu, Ka Siong  berkata, semua operator kenderaan perkhidmatan awam rentas sempadan juga diingatkan untuk mematuhi semua Garis Panduan (SOP) kesihatan sedia ada, termasuk menyediakan kod QR di dalam kenderaan perkhidmatan awam yang beroperasi. 

“Semua operator juga hendaklah memastikan kod QR diimbas oleh penumpang bagi tujuan pengesanan. Namun, selaras dengan ketetapan semasa, pihak operator tidak perlu membuat sebarang pemeriksaan sebelum menaiki kenderaan bagi menyemak status vaksinasi penumpang. 

Mengulas lanjut, beliau berkata, setelah berbincang dengan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Ka Siong bersetuju untuk mengecualikan pembayaran Caj Jalan (RC) yang dikenakan kepada semua kenderaan pendaftaran Singapura  yang akan memasuki Malaysia bagi tempoh tujuh hari, mulai 1 April sehingga 7 April. 

 “Pengecualian ini adalah bertujuan mengelakkan kesesakan di kedua-dua pintu masuk sempadan darat negara Malaysia dan Singapura apabila tiada mempunyai baki yang mencukupi atau tiada kad Touch n’ Go yang masih sah,” jelasnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN