Sempadan darat Malaysia-Singapura dibuka - Utusan Malaysia

Sempadan darat Malaysia-Singapura dibuka

ISMAIL Sabri Yaakob ketika berkomunikasi dengan Lee Hisen Loong melalui telefon. - PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia dan Singapura bersetuju membuka sempadan darat kedua-dua negara bagi pengembara yang lengkap vaksinasi sejajar dengan peralihan kehidupan fasa mendepani pandemik Covid-19.

Dalam kenyataan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong selepas mengadakan panggilan telefon, kedua-dua pemimpin memutuskan bermula 1 April ini, Malaysia dan Singapura akan membenarkan semua pengembara yang lengkap vaksinasi untuk merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian Covid-19.

Katanya, ini termasuk ujian pra pelepasan dan semasa ketibaan serta terpakai ke atas semua kategori pengembara dan jenis pengangkutan darat.

Ismail Sabri berkata, Malaysia akan membuka sempadan kepada pengembara antarabangsa bermula tarikh yang sama, dan seterusnya melakar satu lagi kejayaan penting dalam memudah cara  perjalanan rentas sempadan dengan jiran terdekat, Singapura.

“Pengumuman hari ini mencerminkan hubungan baik, kerjasama pelbagai aspek dan hubungan kukuh antara rakyat kedua-dua negara.

“Ini pastinya akan menyumbang kepada usaha-usaha pemulihan dengan impak positif ke atas ekonomi dan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara,” kata Ismail Sabri.

Hsien Loong pula menyifatkan, Singapura dan Malaysia menikmati hubungan yang mendalam, mesra dalam pelbagai aspek, serta hubungan antara rakyat yang kukuh.

Jelas beliau, pengumuman hari ini merupakan peristiwa penting dalam peralihan kita ke arah kehidupan dengan Covid-19.

“Ia mencerminkan kerjasama kukuh yang dinikmati kedua-dua pihak sepanjang pandemik ini dan akan membantu dua negara muncul lebih kuat daripada krisis ini,” kata  Hsien Loong.

Kedua-dua Perdana Menteri mengakui bahawa Malaysia dan Singapura menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan khususnya  dalam pelaksanaan program vaksinasi dan pengurusan pandemik Covid-19 bagi penduduk negara masing-masing.

Dua pemimpin itu turut mengambil maklum atas kemajuan yang dicapai dalam meneruskan perjalanan rentas sempadan melalui Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (Udara) dan (Darat). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya