Sempadan: Boleh buka sekitar April - MKN

Sempadan: Boleh buka sekitar April – MKN

SEGALA keputusan berhubung pembukaan sempadan negara perlu mengimbangi keperluan negara dalam aspek ekonomi dan kehidupan rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Majlis Keselamatan Negara (MKN) tiada halangan mengikuti cadangan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi membuka pintu sempadan dalam tempoh suku kedua tahun ini. 

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md. Saad berkata,  pihaknya meletakkan keutamaan kepada penilaian risiko KKM berhubung kepentingan kesihatan awam yang perlu dipertahan.

Namun, kata beliau, segala keputusan perlu mengimbangi keperluan negara dalam aspek ekonomi dan kehidupan rakyat.

“Kita tidak mahu aspek Covid-19 ini membawa kemudaratan besar dan akhirnya penilaian risiko KKM dijadikan satu kayu ukur utama dalam membuat keputusan, tetapi perlu mempertimbang elemen ekonomi, sosial dan kesejahteraan rakyat. 

“Liputan dos penggalak hanya menjadi faktor mengukuhkan keputusan tetapi bukan dominan. Kita lihat juga situasi Covid-19 semasa, kadar kes positif harian, jumlah kematian dan tekanan katil di hospital, kita lihat semua faktor itu,” katanya di sini semalam.

Baru-baru ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin membayangkan pintu sempadan negara dibuka sepenuhnya pada awal suku kedua tahun ini selepas selesai menyediakan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) tidak lama lagi. 

RODZI MD. SAAD

Rodzi berkata, dalam hal itu, kerajaan juga melihat trend global bagaimana cara negara-negara lain mengendalikan kes memandangkan jumlah keterukan kes tidak tinggi walaupun jumlah jangkitan meningkat ekoran penularan varian Omicron ketika ini.

Beliau berkata, pembukaan pintu sempadan adalah satu langkah transisi ke arah fasa endemik dan negara harus belajar menguruskan wabak tanpa menjejaskan sektor ekonomi.

“Nilai ekonomi terus mengalami kerugian kalau berterusan menyekat pintu sempadan.  Kita nak menggerakkan ekonomi cepa  dan mahu memulihkan segera negara. Maka penting untuk kita pertimbangkan. 

“Apapun keputusan berhubung perkara itu akan dibincangkan di peringkat jawatan kuasa teknikal dahulu dan kemudian dilaporkan kepada Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19 sebelum dibawa ke Jawatankuasa Pengurusan Pandemik Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri sebelum membuat keputusan akhir,” katanya.

 Berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia,  kedudukan prestasi ekonomi negara pada tahun lalu masih lebih rendah berbanding aras ekonomi pada tahun 2019 yang mana nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2021 menyusut 2.7 peratus (RM38.2 bilion). 

Bagaimanapun, prestasi tahun 2021 berada pada jajaran yang lebih baik berbanding 2020, yang mana nilai KDNK pada tahun 2020 berbanding 2019 merosot RM80.4 bilion.

Penutupan pintu sempadan menjejaskan sepenuhnya sektor pelancongan yang mana Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menggangarkan kerugian dalam industri berkenaan di negara ini terus meningkat kepada RM165 bilion tahun lalu daripada anggaran kerugian sebanyak RM135 bilion pada tahun 2020 berikutan pandemik Covid-19.

Laporan DOSM turut menyebut, sektor pelancongan mencatatkan lebihan pendapatan yang rendah sebanyak RM2.1 bilion pada suku pertama tahun 2020, terendah sejak suku ketiga tahun 2003 akibat wabak SARS.

Mengulas berhubung situasi itu, Profesor Madya di Fakulti Pengurusan Industri Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dr. Mohd. Ridzuan Darun berkata, penutupan sempadan memberi kesan negatif kepada Jumlah Nilai Ditambah Kasar Industri Pelancongan yang melihat penurunan di bawah paras RM200 billion pada tahun 2020 berbanding RM240 billion pada tahun 2019.

Kata beliau, kerugian dilihat kepada penurunan ketara pada Nilai Ditambah Kasar Pelancongan Langsung yang jatuh ke paras RM28 billion tahun 2020 daripada RM101 billion pada tahun 2019.

“Walaupun kerugian hasil penutupan sempadan negara dilihat amat menjejaskan,  jumlah Guna Tenaga di dalam industri pelancongan tidak menunjukkan penurunan mendadak, seramai 3.4 juta pekerja dalam sektor ini pada tahun 2020 berbanding 3.5 juta pada tahun 2019.

“Jika sempadan negara tidak dibuka segera, kemampuan sektor pelancongan untuk bertahan lama mungkin terjejas dan memberi kesan lebih besar kepada kadar pengangguran dan masalah sosial,” katanya.

Menyokong pendapat sama, Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Nuradli Ridz­wan Shah Mohd. Dali berkata, sektor ekonomi negara perlu dipulihkan yang sebahagiannya dijana daripada pendapatan menerusi industri pelancongan.

Katanya, Jun ini adalah waktu terbaik untuk membuka pintu sempadan secara berhati-hati dengan penyediaan SOP lengkap bertepatan dengan transisi endemik sebagaimana terdapat negara luar telah pun berbuat demikian.

“Banyak sektor lain yang menerima impak ekonomi khususnya pengusaha agensi pelancongan, perusahaan mikro, kecil dan sederhana, sektor perkhidmatan berkaitan yang mempunyai kesan rantaian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya